Dua set borang penamaan calon PRN-13 Sarawak dibeli di Subis

Facebook
WhatsApp

BEKENU, 10 November: Sebanyak dua set borang penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 dibeli di Pejabat Daerah Subis setakat 4.00 petang hari ini, yang juga merupakan hari pertama jualan borang berkenaan.

Tinjauan Utusan Sarawak mendapati kedua-dua set borang itu dibeli oleh seorang individu pada 4.00 petang.

Menurut petugas Pejabat Daerah Subis, borang penamaan calon berkenaan diterima pada minggu lalu sebelum mula dijual kepada orang ramai hari ini pada harga RM20 bagi setiap set.

Katanya, setiap individu dibenarkan membeli maksimum dua set borang sehari.

“Sekiranya memerlukan set tambahan, pembeli boleh datang semula ke pejabat ini pada hari berikutnya untuk membuat pembelian,” katanya.

Antara dokumen yang terkandung dalam set berkenaan ialah Borang 4A (Kertas Penamaan), Borang 5A (Akuan Berkanun), Borang A (Sumpah Kerahsiaan) dan Borang SPR.766 (Borang Maklumat Tambahan Calon/Ejen Pilihan Raya).

Set itu turut disertakan contoh pengisian borang penamaan calon sebagai panduan kepada bakal calon.

Borang berkenaan boleh dibeli sebelum hari penamaan calon yang dijadualkan pada 28 November ini.

Sementara itu, individu yang berhasrat bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Sarawak ke-13 perlu menyediakan deposit keseluruhan sebanyak RM8,000.

Jumlah itu merangkumi deposit pilihan raya sebanyak RM5,000 dan deposit bahan kempen sebanyak RM3,000, tertakluk kepada ketetapan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dari segi kelayakan, bakal calon mestilah warganegara Malaysia, berumur sekurang-kurangnya 18 tahun pada hari penamaan calon serta memenuhi syarat pemastautinan yang ditetapkan bagi kerusi DUN.

Semua syarat dan keperluan berkenaan perlu dipenuhi sebelum seseorang bakal calon mengemukakan kertas penamaan untuk bertanding dalam pilihan raya tersebut.

Oleh Adum Liu