KOTA SAMARAHAN, 10 November: Persatuan Main Asal Dayak Sarawak (PEMADAS) merakamkan penghargaan kepada pihak Wat Maha Bodhi Phra Phrom (Four Face Buddha) atas jemputan kepada kumpulan penari persatuan itu bagi mempersembahkan tarian tradisional Iban dalam satu program yang berlangsung di Taman Samarindah, dekat sini kelmarin.
Pengerusi PEMADAS, Ali Singka Pengerui, berkata jemputan tersebut merupakan satu penghormatan besar kepada persatuan dan menjadi platform penting untuk memperkenalkan keunikan seni serta warisan budaya masyarakat Dayak kepada masyarakat yang lebih luas.
Menurut beliau, persembahan tersebut bukan sahaja memberi peluang kepada para penari menonjolkan bakat dan kemahiran, malah membantu mempromosikan kepelbagaian budaya di negara ini serta mengeratkan hubungan antara masyarakat pelbagai kaum dan agama.
“PEMADAS amat menghargai kepercayaan dan sokongan yang diberikan oleh pihak penganjur. Kami berharap kerjasama seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang demi memartabatkan seni budaya tradisional,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa usaha memelihara dan memperkasakan warisan budaya memerlukan sokongan berterusan daripada semua pihak agar khazanah seni tradisional terus dihargai oleh generasi masa kini dan akan datang.
Sementara itu, tenaga pengajar tarian Ngajat, Korea Musit, menyifatkan penyertaan dalam program berkenaan sebagai pengalaman bermakna dalam usaha memperkenalkan keunikan tarian tradisional Iban kepada masyarakat pelbagai latar belakang.
Katanya, persembahan itu turut memberikan pendedahan berharga kepada peserta untuk meningkatkan pengalaman, keyakinan diri serta kemahiran dalam bidang seni persembahan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa peserta yang sentiasa memberi komitmen, kepercayaan dan sokongan moral sepanjang proses persiapan serta latihan dijalankan.
“Galakan ibu bapa menjadi faktor penting yang menyuntik semangat kepada peserta untuk terus berlatih, mengekalkan disiplin dan menghargai seni warisan tradisional,” ujarnya.
Penghargaan turut diberikan kepada tenaga pengajar Reagan dan Brian atas kerjasama serta dedikasi mereka dalam membimbing para penari sehingga persembahan berjaya dilaksanakan dengan cemerlang.
Selain itu, seluruh penari dan kumpulan bertabuh turut dipuji atas kesungguhan dan disiplin yang ditunjukkan sepanjang latihan.
Dalam perkembangan sama, Ali menegaskan bahawa PEMADAS akan terus komited memperkasakan seni dan budaya masyarakat Dayak melalui penglibatan aktif dalam pelbagai program kesenian serta kerjasama dengan agensi dan pertubuhan berkaitan.
Beliau berkata, pendedahan kepada golongan muda amat penting bagi memastikan mereka mengenali, memahami dan menghayati seni tradisional sebagai sebahagian daripada identiti dan jati diri masyarakat.
“Semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh semua pihak diharap dapat menjadi asas kepada lebih banyak program kebudayaan pada masa hadapan, sekali gus memastikan warisan seni tarian tradisional Iban terus dipelihara dan diwarisi oleh generasi akan datang,” katanya.
Oleh Adi Safarman




