KUALA LUMPUR, 10 November: Beregu wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah menerima tamparan hebat apabila tersingkir pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Masters Jepun selepas tewas kepada gandingan tuan rumah Rinina Hiramoto-Chiharu Shida hari ini.
Pada aksi di Kumamoto Prefectural Gymnasium itu, pasangan pilihan kedua kejohanan tersebut dikejutkan oleh gandingan ranking ke-143 dunia dalam pertarungan tiga set selama 64 minit.
Pearly-Thinaah, yang menghuni ranking keempat dunia memulakan perlawanan dengan baik apabila memenangi set pertama 21-18 namun gagal mengekalkan momentum sebelum tewas 13-21, 14-21.
Dalam pada itu, dua beregu lelaki negara Aaron Tai-Yap Roy King dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani mengesahkan pertemuan sesama sendiri pada pusingan kedua selepas menewaskan lawan masing-masing.
Aaron-Roy King terlebih dahulu mara selepas menundukkan wakil Jepun Kakeru Kumagai-Hiroki Nishi 21-8, 21-14.
Sze Fei-Nur Izzuddin kemudian melengkapkan pertemuan itu dengan menewaskan pasangan Denmark Christian Faust Kjaer-Rasmus Kjaer 21-15, 21-16.
Satu lagi pasangan beregu lelaki negara Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong bagaimanapun terkandas pada pusingan pertama selepas tewas kepada beregu Denmark Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard 16-21, 21-16, 20-22.- Bernama





