SIBU: Program rondaan bersepadu telah dijalankan di kawasan Perumahan Ulu Sungai Merah, bagi mencegah jenayah di lokaliti.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, program bermula dari jam 7.30 pagi hingga 10.30 malam itu, disertai anggota dari Bahagian Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) IPD Sibu, Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan Kawasan Rukun Tertangga (KRT) Nang Sang.
Menurutnya, program rondaan bersama ini melibatkan anggota SRS/KRT Nang Sang bekerjasama dengan pihak polis bagi meningkatkan keselamatan penduduk di kawasan perumahan Ulu Sungai Merah.
“Rondaan itu dilakukan sebagai langkah proaktif mencegah kegiatan jenayah di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara polis dan masyarakat,” katanya menerusi kenyataan di facebook rasmi IPD Sibu, hari ini.
Katanya, matlamat utama rondaan ini adalah untuk menggalakkan penglibatan aktif masyarakat setempat dalam pencegahan jenayah bersama PDRM.
“Inisiatif ini juga bertujuan membantu pihak polis dalam membendung kegiatan jenayah di kawasan tersebut, seterusnya mewujudkan persekitaran yang harmoni dan aman.
“Polis juga berharap masyarakat setempat dapat bertindak sebagai ‘mata dan telinga’ PDRM dengan memberikan maklumat penting yang boleh membantu dalam operasi keselamatan,” katanya.
Zulkipli berkata, sepanjang rondaan yang berlangsung lebih 14 jam itu, aktiviti berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini dilaporkan.
“Keadaan di sekitar kawasan perumahan Ulu Sungai Merah kekal terkawal, mencerminkan keberkesanan kerjasama antara masyarakat dan pihak berkuasa dalam memastikan keselamatan setempat,” jelasnya.
Katanya, program ini berjaya mencapai matlamatnya untuk mengeratkan perpaduan dan kerjasama antara masyarakat dan PDRM.
“BPJKK IPD Sibu merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan rondaan ini dan berharap inisiatif sebegini dapat diteruskan demi masa depan yang lebih selamat dan aman,” katanya.
Oleh AKUN GIMAN