Jenazah Tun Dr Siti Hasmah dibawa pulang ke kediaman di The Mines

Facebook
WhatsApp
DATUK Seri Mukhriz Mahathir mengiringi jenazah ibunya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di Institut Jantung Negara (IJN) hari ini. Isteri kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Jenazah Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dibawa keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) pada 10.48 pagi ini untuk dibawa ke kediamannya di The Mines, Seri Kembangan, Selangor.

Tinjauan Bernama di pekarangan IJN mendapati orang ramai dan petugas media berada di persekitaran pusat perubatan berkenaan ketika kenderaan yang membawa jenazah isteri bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bergerak menuju ke kediaman Allahyarham.

KELUARGA Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mengiringi jenazah ketika dibawa keluar dari Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, hari ini. Foto Bernama

Antara ahli keluarga Allahyarham yang dilihat hadir di IJN ialah anak-anaknya, Datin Paduka Marina Mahathir, Tan Sri Mokhzani dan Datuk Seri Mukhriz.

Beberapa anggota polis bersama pengawal keselamatan IJN turut ditempatkan di sekitar pintu masuk bagi mengawal pergerakan orang ramai serta memastikan aliran lalu lintas berjalan lancar.

Selain itu, petugas media turut berada di lokasi bagi membuat liputan dan mendapatkan perkembangan terkini mengenai urusan jenazah Allahyarham.

JENAZAH Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dibawa keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) untuk dibawa ke kediamannya di The Mines, Seri Kembangan, hari ini. Foto Bernama

Setakat ini, pihak IJN belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung pemergian Allahyarham.

Terdahulu, Dr Siti Hasmah disahkan meninggal dunia di IJN pagi ini pada usia 100 tahun. – Bernama