Program OTG Komuniti Pemuda PBB ceriakan penduduk

Facebook
WhatsApp
BEKERJASAMA… Peserta merakamkan gambar dengan Abdul Yakub Arbi pada program OTG Community Pemuda PBB Balingian di Kampung Teh, Mukah baru-baru ini.

MUKAH: Penduduk Kampung Teh di sini lega kerana jeti awamnya telah diperbaiki penghujung minggu lalu.

Jeti itu dibaiki melalui Program OTG (On-The-Go) Komuniti Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Balingian yang berkonsepkan gotong-royong memperbaiki kemudahan awam sebagai pengisian utama program pada 23 Ogos lalu.

Antara aktiviti pada hari tersebut ialah baik pulih lantai, atap, tempat duduk termasuk menyimen  bahagian hadapan jeti tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri Balingian, Abdul Yakub Arbi, yang turut serta berterima kasih kepada pemuda dan semua yang terlibat dalam program berkenaan.

Juga kelihatan dalam program komuniti yang menyaksikan penggemblengan tenaga Pemuda Cawangan N.58 Balingian dan Pemuda PBB Ranting Kampung Teh itu ialah Ketua Wanita PBB Cawangan N.58 Balingian, Aimie Kaliew.

Jeti tersebut untuk kegunaan harian penduduk kampung yang berada di seberang Batang Mukah   termasuk tempat singgahan menghantar jenazah ke tanah perkuburan.

 Abdul Yakub menyatakan sokongannya dengan program sedemikian dan mengharapkan ahli pemuda  PBB akan terus aktif dalam komuniti kerana penglibatan belia adalah salah satu komponen penting dalam masyarakat yang berkualiti dan harmoni.