SIBU, 25 November: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) menyasarkan kutipan sebanyak 500 kilogram sisa elektronik (e-sisa) menerusi Kempen E-Sisa dan Kitar Semula Sibu 2026 yang berlangsung pada 28 dan 29 November ini.
Kempen selama dua hari itu akan diadakan dari 9.00 pagi hingga 4.00 petang di tempat letak kereta berbumbung MPS, berhadapan pintu masuk Wisma Sanyan, di sini.
Program berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Penjualan dan Perkhidmatan Barangan Elektrik dan Elektronik Zon Tengah Sarawak.
MPS menerusi kenyataan memaklumkan, kempen itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pelupusan e-sisa secara betul, selain menggalakkan amalan kitar semula.
Orang ramai digalakkan membawa peralatan elektrik dan elektronik yang tidak lagi digunakan serta bahan kitar semula lain ke pusat pengumpulan yang disediakan.
Antara bahan yang diterima termasuk kertas dan kadbod, botol serta bekas plastik, logam, keluli dan aluminium, minyak masak terpakai serta bateri kereta.
Bagi menggalakkan penyertaan masyarakat, pertandingan pengumpulan e-sisa turut dianjurkan dengan tiga penyumbang tertinggi berdasarkan jumlah berat kutipan individu dipilih sebagai pemenang.
Hadiah menarik menanti pemenang, termasuk hamper barangan keperluan rumah tajaan Doremart, kipas berdiri dan lampu LED solar tajaan Eco Green Electrical.
Majlis penyampaian hadiah kepada ketiga-tiga pemenang dijadualkan berlangsung pada 5 Disember ini sempena Majlis Makan Malam Apresiasi Tahunan MPS.
Selain itu, orang ramai yang membawa e-sisa untuk dikitar semula turut berpeluang menerima hadiah percuma sementara stok masih ada.
Majlis pelancaran rasmi kempen berkenaan akan diadakan pada 10.00 pagi, 29 November ini di lokasi sama.
Sehubungan itu, MPS menggalakkan masyarakat mengambil kesempatan tersebut untuk melupuskan peralatan elektrik dan elektronik yang tidak lagi digunakan secara bertanggungjawab.
Menurut MPS, pelupusan e-sisa secara tidak betul boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar, manakala pengumpulan dan kitar semula yang sistematik membantu mendapatkan semula bahan bernilai serta mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan.
Kejayaan kempen itu, katanya, bergantung kepada penyertaan dan tanggungjawab bersama masyarakat dalam usaha menjadikan Sibu lebih bersih, hijau dan mampan.
Oleh Akun Giman




