SARATOK, 25 November: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka, Mohamad Duri sekali lagi diberi kepercayaan oleh kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk mewakili parti itu sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-13 (PRN13).
Beliau merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta kepimpinan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk mempertahankan kerusi berkenaan.
“Saya mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada Pengerusi GPS kerana sekali lagi diberikan kepercayaan oleh kepimpinan PBB Sarawak untuk menjadi calon bagi PRN13 mewakili DUN Kalaka,” katanya.
Mengulas mengenai keperluan pembangunan di kawasan itu, beliau berkata Kalaka masih memerlukan perhatian berterusan khususnya dari segi infrastruktur asas termasuk jalan raya, bekalan elektrik, bekalan air bersih dan sistem telekomunikasi.
Menurutnya, sepanjang empat tahun lapan bulan memegang mandat sebagai wakil rakyat, masih terdapat beberapa kawasan yang belum dapat dibangunkan sepenuhnya berikutan kos pelaksanaan yang besar dan memerlukan perancangan kerajaan secara berperingkat.
Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana beberapa inisiatif pembangunan telah dan sedang dilaksanakan, termasuk pembinaan serta naik taraf jalan pertanian, rumah panjang, jalan lorong dan parit di kampung-kampung.
Selain itu, pembinaan dewan serta usaha menaik taraf kemudahan prasarana di sekolah-sekolah dalam kawasan DUN Kalaka turut menjadi antara agenda pembangunan yang diteruskan.
Mohamad Duri menegaskan sekiranya sekali lagi diberikan mandat oleh rakyat pada PRN13, beliau akan terus berkhidmat dengan penuh kejujuran, tanggungjawab dan komitmen tanpa mengira latar belakang masyarakat.
“Jika diberikan mandat sekali lagi oleh rakyat di DUN Kalaka dan memenangi PRN13 ini, saya akan berkhidmat dengan jujur, bertanggungjawab dan sentiasa mendengar suara anda serta berusaha sebaik mungkin untuk membawa manfaat kepada semua,” katanya.
Beliau turut mengakui bahawa bukan semua masalah pembangunan dapat diselesaikan dalam tempoh singkat, namun berjanji akan terus bekerja keras, berani menghadapi cabaran dan tidak melupakan sokongan masyarakat.
Dalam pada itu, beliau menyeru pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian, 12 Disember nanti, bagi menentukan hala tuju kepimpinan negeri untuk penggal seterusnya.
“Jangan lupa untuk mengundi pada 12 Disember ini. Sokongan anda sangat penting bagi kemenangan GPS untuk terus diberikan mandat agar misi Sarawak Maju Makmur tercapai dengan jayanya,” katanya.
Oleh Adi Safarman




