
JULAU: Program Kepolisan Komuniti bertemakan ‘Sekolah Selamat, Murid Terpelihara’ berjaya menghimpunkan 300 peserta dalam usaha mewujudkan persekitaran pembelajaran lebih selamat dan harmoni di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Sungai Naman.
Ketua Polis Daerah (KPD) Julau, DSP Alif Haiqal Ramesh Abdullah, berkata program tersebut memberi penekanan kepada aspek keselamatan fizikal murid bagi memastikan persekitaran sekolah bebas daripada ancaman, kemalangan dan bahaya melalui pelaksanaan ekosistem keselamatan yang berkesan.
“Ia juga bertujuan memastikan murid mendapat penjagaan kesihatan asas, kemudahan kebersihn dan sokongan kebajikan yang mencukupi.
“Selain itu, objektif program ini juga adalah mewujudkan suasana sekolah yang harmoni, bebas daripada buli, diskriminasi dan tekanan yang boleh menjejaskan pembelajaran,” katanya ketika berucap pada program tersebut, baru-baru ini.

Katanya, ia turut memberi pendedahan kepada guru, ibu bapa dan murid mengenai langkah-langkah keselamatan, disiplin diri dan tindakan sewajarnya dalam menghadapi situasi kecemasan.
“Saya berharap melalui program ini yang melibatkan para guru, kakitangan sekolah, ibu bapa dan murid dari Tahun 1 hingga Tahun 6 akan mewujudkan peningkatan kesedaran terhadap aspek keselamatan fizikal, mental dan sosial di sekolah.
“Suasana pembelajaran menjadi lebih tenang, teratur dan bebas daripada gangguan seperti buli atau ancaman keselamatan.
“Di samping itu, hubungan antara guru, murid, ibu bapa dan pihak berkuasa semakin erat melalui kerjasama menjaga keselamatan dan kebajikan murid,” katanya.

Tambahnya, program tersebut turut membantu membentuk murid yang lebih berdisiplin, bertanggungjawab serta peka terhadap keselamatan diri dan orang lain, selain memastikan mereka mendapat sokongan dari segi kesihatan, kebersihan dan kebajikan bagi membantu perkembangan akademik dan sahsiah.
“Secara keseluruhannya, saya yakin melalui program begini ia mampu mewujudkan sekolah yang lebih selamat, harmoni dan terpelihara, sekali gus menyokong pencapaian akademik dan pembentukan sahsiah murid dengan lebih baik,” katanya lagi.
Program tersebut turut diisi dengan ceramah oleh pegawai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Julau berkaitan salah laku disiplin, buli, ancaman jenayah siber, penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang, serta kesalahan merokok dan penggunaan vape.
Di program sama, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor turut hadir untuk mengadakan taklimat keselamatan dan demonstrasi pengendalian kebakaran.
Oleh Earl Anek