SIMANGGANG: Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis baru-baru ini telah berkesempatan untuk meluangkan masa bagi menjayakan program gotong-royong terhadap kediaman sebuah keluarga di Taman Sentosa Indah di sini.
Program tersebut merupakan anjuran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Simanggang dengan kediaman keluarga Yong Geok Choo yang beralamat di Lot 2077, RPR Fasa II, Taman Sentosa Indah telah dipilih bagi tujuan itu.
“Program ini telah memberi laluan kepada saya bagi menyedarkan penduduk mengenai pentingnya untuk mengamalkan tabiat mengurus dan menjaga kebersihan dalam serta luar kediaman masing-masing untuk sepanjang masa.
“Justeru untuk mengalakkan penduduk mengamalkan tabiat berkenaan maka pihak kita telah pun bertindak memilih kediaman Yong bagi tujuan itu dengan harapan agar ia menjadi ikutan lain-lain penduduk di penempatan ini kelak,” kata beliau.
Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang turut menambah bahawa tindakan semua penduduk mengamalkan tabiat itu secara tidak langsung akan dapat mewujudkan landskap yang lebih baik cantik dalam penempatan mereka.
Malah tabiat berkenaan kata beliau akan dapat dijadikan ikutan oleh taman-taman perumahan di sini sehingga ia mampu mengangkat imej Bandar Simanggang sebagai bandar yang bersih dalam negeri ini pada masa akan datang.
“Lagi pun, Bandar Simanggang merupakan pusat penganjuran Pesta Benak di dalam negeri ini pada setiap tahun sehingga ia mampu menarik kehadiran antara 50,000 hingga 70,000 pengunjung untuk satu-satu masa.
“Atas sebab itu kita menggalakkan taman perumahan di sini mengadakan kempen gotong-royong agar ia dapat dijadikan sebagai satu amalan penting yang dapat menyumbang kepada penjagaan kebersihan dalam sekitar kawasan bandar ini kelak,” katanya.
Harden kemudiannya menyertai program gotong-royong membersihkan penempatan Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Fasa II, Taman Sentosa Indah di sini dengan penganjuran aktiviti itu turut mendapat kerjasama Majlis Daerah Sri Aman (MDSA). Turut hadir, Timbalan Walikota MDSA, Kaunselor Andar Suntai, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran MDSA, Fiona Bunu, Penolong Pegawai Tadbir MDSA, Regina Giles Senin, Temenggong Kueh Aik Seng, para Ketua Masyarakat, para Ahli Majlis MDSA dan penduduk setempat di sini.
Oleh Valentine Ngumbang