LIMBANG: Lebih 15,000 peserta sudah menyertai Akademi Latihan Insan (ALI) anjuran Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) dengan kerjasama Yayasan Kepimpinan Al Bait (YKAB) dan Koperasi Al Bait Sarawak Berhad (KOOPBAIT) sejak dilaksanakan pada 2018.
Timbalan Ketua Sektor Kewangan dan Pentabiran TBS, Iskandar Allan berkata ALI berkonsepkan latihan kemahiran asas jangka pendek selama dua hari, merupakan inisiatif TBS untuk membuka peluang kepada golongan asnaf mempelajari dan menimba ilmu dalam bidang kemahiran.
Program itu juga mampu meningkatkan aspek kepimpinan bagi meningkatkan taraf kehidupan mereka supaya lebih maju dan keluar daripada kepompong kemiskinan.
Beliau berkata program ALI telah dijalankan di beberapa bahagian di seluruh negeri khususnya di Bahagian Kuching, Sibu dan Miri dan akan diperluaskan pertama kalinya ke Limbang dan Lawas.
“Program ini memberi peluang kepada masyarkat belajar kemahiran mudah, selain memberi bantuan kewangan kepada pelajaran, golongan asnaf, kita juga memberi peluang untuk belajar kemahiran secara percuma melalui ALI.
“ALI ini diharap dapat memberi impak meningkatkan taraf pendapatan mereka,” katanya pada majlis penangguhan program ALI Bahagian Limbang di Dewan Kampung Bunga Raya di sini.
Turut sama ialah Ketua Bahagian TBS Limbang. Junaidi Lamat dan Penghulu Ahmad Biniz
Program ALI itu telah mengadakan kursus kemahiran asas mengunting rambut yang dijalankan selama dua hari.
Seramai 66 peserta dari Daerah Limbang dan Lawas yang terdiri daripada golongan asnaf menyertai kursus tersebut.
Oleh ADENG EDRUS