PRN13: Wilson Nyabong tidak pertahan kerusi Pelagus

Facebook
WhatsApp
PENYANDANG kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.61 Pelagus, Wilson Nyabong Ijang. Foto Facebook Wilson Nyabong Ijang

KUCHING, 27 November: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelagus, Wilson Nyabong Ijang mengesahkan tidak akan mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri ke-13 (PRN13), sekali gus menafikan spekulasi bahawa beliau akan bertanding sebagai calon bebas.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai pertimbangan serta mengadakan perbincangan bersama ahli jawatankuasa Parti Rakyat Sarawak (PRS) Bahagian Pelagus dan mendapatkan pandangan akar umbi, ketua masyarakat serta ketua kaum.

Menurutnya, keputusan tersebut turut mengambil kira kepentingan kestabilan politik, keutuhan parti serta kelangsungan agenda pembangunan Pelagus dan Sarawak secara keseluruhannya.

Beliau mengakui pada awalnya terdapat hasrat dan desakan daripada peringkat akar umbi supaya beliau terus mempertahankan kerusi berkenaan, namun memilih untuk tidak bertanding selepas mempertimbangkan pandangan pelbagai pihak.

Wilson turut menyatakan penerimaan dan penghormatan terhadap keputusan pucuk pimpinan PRS, khususnya Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang juga Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

RINGKASAN kenyataan media penyandang kerusi DUN N.61 Pelagus. Foto Facebook Wilson Nyabong Ijang

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada masyarakat Pelagus, kepimpinan PRS Bahagian Pelagus, ketua masyarakat, ketua kaum serta semua pihak yang memberikan kepercayaan dan sokongan sepanjang dua penggal perkhidmatannya sebagai wakil rakyat sejak 2016.

Menurutnya, segala pencapaian sepanjang tempoh tersebut merupakan hasil kerjasama dan usaha kolektif pelbagai pihak, termasuk rakan wakil rakyat, pentadbiran Bahagian Kapit serta jabatan dan agensi kerajaan di peringkat negeri dan Persekutuan.

Walaupun tidak lagi mempertahankan kerusi berkenaan, beliau menegaskan komitmennya terhadap kesejahteraan masyarakat dan pembangunan Pelagus akan terus kekal.

Beliau turut menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Premier Sarawak serta agenda pembangunan kerajaan GPS demi kemajuan dan kemakmuran negeri ini.

Pada masa sama, Wilson mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon GPS, khususnya calon PRS, yang akan bertanding pada PRN13.