BINTULU, 27 November: Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) menahan sebuah bot tunda selepas disyaki gagal mengekalkan tanda nama kapal ketika pemeriksaan di perairan Tanjung Kidurong di sini, petang semalam.
Pengarah Maritim Zon Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, bot tunda itu ditahan pada 6.38 petang kira-kira 3.2 batu nautika barat laut Tanjung Kidurong.
Menurutnya, bot peronda Maritim Malaysia mengesan bot berkenaan ketika melaksanakan rondaan menerusi Op Permai 01/2019 dan Op Tiris 4.0.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot tunda itu dikendalikan enam kru, terdiri daripada lima warga Indonesia termasuk nakhoda dan seorang warga Myanmar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pemeriksaan lanjut mendapati bot berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 18(5), Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO 1952), kerana gagal mengekalkan tanda nama kapal.
Bot tunda bersama kesemua kru kemudian ditahan dan dibawa untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi tindakan lanjut.
Dalam pada itu, Suffian mengingatkan komuniti maritim supaya sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang perkapalan yang berkuat kuasa bagi memastikan keselamatan serta ketertiban aktiviti perkapalan di perairan negara terpelihara.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti mencurigakan atau kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Bintulu menerusi talian 086-314 254, Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432 544) atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam,” ujarnya.
Oleh Caroylne Utih




