MATU, 28 Nov: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.44 Jemoreng menyaksikan pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) N.44 Jemoreng Natalie Chiong Siew Ping mengesahkan pertembungan tiga penjuru bagi merebut kerusi tersebut.
Juanda yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) berdepan saingan dua calon Bebas, Abdul Razak Siong, 68 dan Arshad Mostapa, 58 dalam usaha mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak 2016.
Beliau pertama kali memenangi kerusi DUN Jemoreng pada PRU DUN Sarawak 2016 dengan memperoleh 5,084 undi, sekali gus mencatat majoriti 3,789 undi dalam pertandingan tiga penjuru.
Pada PRU DUN Sarawak ke-12 pada 2021, Juanda sekali lagi mempertahankan kerusi berkenaan dengan memperoleh 5,623 undi dan majoriti 5,012 undi dengan menewaskan calon Bebas, Osman Rafaie yang memperoleh 611 undi, manakala calon Parti Amanah Negara (AMANAH), Zainab Suhaili mendapat 244 undi.
Kemenangan itu menyaksikan Juanda memperoleh 86.8 peratus daripada keseluruhan undi sah dalam pertandingan berkenaan.
Anak kelahiran Igan itu memulakan kerjaya dalam bidang agama di Sarawak dengan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Mufti Sarawak dan Ketua Penolong Pengarah Dakwah, Jabatan Agama Islam Sarawak sebelum dilantik sebagai Mufti Perlis pada 2009.
Beliau berkhidmat sebagai Mufti Perlis sehingga 2014 sebelum kembali ke Sarawak dan menceburi bidang politik pada 2016.
Hari penamaan calon PRN Sarawak ke-13 berlangsung hari ini, manakala pengundian awal ditetapkan pada 8 Disember dan hari pengundian pada 12 Disember ini.
Oleh Akun Giman




