PRN Sarawak: Kementerian Komunikasi cadang buka lebih banyak pusat media

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Menteri Komunikasi Teo Nie Ching menandatangani buku kehadiran ketika melawat Pusat Media Kementerian Komunikasi sempena Pilihan Raya Negeri Melaka Ke-16 hari ini. Foto BERNAMA

MELAKA, 7 November: Kementerian Komunikasi bercadang untuk membuka lebih banyak pusat media bersempena dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, bulan depan.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata langkah itu diambil Kementerian Komunikasi memandangkan keluasan kawasan negeri Sarawak serta mempunyai beberapa zon berbeza.

“Saya percaya lebih daripada satu pusat media akan diwujudkan supaya kita boleh bagi perkhidmatan yang lebih baik untuk rakan-rakan media. 

“Kalau kita hanya wujudkan satu pusat media di Kuching, masih tidak mencukupi untuk mereka yang perlu buat liputan di Miri, Sibu dan sebagainya,” katanya selepas meninjau Pusat Media Kementerian Komunikasi di Ayer Keroh, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Khairul Nizam Mohd Mostar. 

TIMBALAN Menteri Komunikasi Teo Nie Ching melihat pelan data calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ketika melawat Pusat Media Kementerian Komunikasi sempena PRN Melaka Ke-16 hari ini. Foto BERNAMA

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRN Sarawak ke-13 pada 12 Disember ini, penamaan calon pada 28 November, manakala pengundian awal pada 8 Disember, dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

Dalam pada itu, Teo turut merakamkan penghargaan kepada petugas media yang membuat liputan PRN Melaka ke-16 walaupun esok merupakan cuti umum bersempena dengan sambutan Deepavali.

“Esok cuti umum, tetapi rakan-rakan media tidak boleh bercuti, dan perlu bertugas sepanjang PRN Melaka. Jutaan terima kasih saya juga ucapkan,” katanya.

SPR menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala pengundian awal pada 10 November.

Bagi mendapatkan berita terkini PRN Melaka ke-16, layari https://election.bernama.com/prn/melaka/2026/ – Bernama