Prestasi kerajaan perlu dinilai berdasarkan rekod khidmat – Nicholas Wung

Facebook
WhatsApp
CALON GPS bagi kerusi Padungan, Nicholas Wung Duk Ying, berkata prestasi kerajaan negeri wajar dinilai berdasarkan rekod perkhidmatannya kepada rakyat, termasuk dalam bidang pendidikan, kebajikan dan usaha memelihara keharmonian antara kaum dan agama.

KUCHING, 29 Nov: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) bagi kerusi Padungan, Nicholas Wung Duk Ying, mencabar DAP supaya mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan hegemoni (dominasi) politik di Sarawak.

Beliau berkata, rekod perkhidmatan kepada rakyat perlu menjadi ukuran utama dalam menilai keabsahan dan keberkesanan sesebuah kerajaan, di samping jumlah kerusi yang dikuasainya.

Menurutnya, pendekatan Sarawak dalam memelihara keharmonian kaum, merangkumi kepentingan pelbagai agama serta menyediakan kemudahan pendidikan dan kebajikan memberi asas yang lebih bermakna untuk menilai prestasi kerajaan negeri.

Wung berkata, penubuhan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), peruntukan berterusan kepada institusi agama bukan Islam, pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), peruntukan tahunan kepada sekolah menengah persendirian Cina serta Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) mencerminkan komitmen negeri untuk membina masyarakat yang inklusif.

Katanya, dakwaan hegemoni politik perlu disokong dengan bukti kukuh, seperti dasar yang mendiskriminasi, keputusan pentadbiran yang dipersoalkan atau penyalahgunaan kuasa. Jumlah kerusi yang dikuasai sesebuah gabungan sahaja, menurutnya, tidak memadai untuk menyokong dakwaan itu.

Beliau turut menegaskan bahawa GPS menghimpunkan empat parti komponen, iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), SUPP, Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Katanya, struktur gabungan itu membolehkan setiap parti komponen mewakili masyarakat dan membawa kepentingan masing-masing menerusi rundingan serta penyelarasan dalaman.

Merujuk kenyataan terbaharu Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar, mengenai semak dan imbang dalam GPS, Wung berkata mekanisme dalaman gabungan itu membantu memastikan pelbagai komuniti mendapat perwakilan.

Asfia sebelum ini menyebut Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng, dan Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang, sebagai contoh perwakilan masyarakat Cina dalam kerangka kepimpinan gabungan itu.

Wung berkata, keadaan politik dan sosial di Sarawak berbeza daripada Semenanjung Malaysia. Menurutnya, sikap saling menghormati, keharmonian kaum dan toleransi beragama kekal penting dalam membentuk identiti masyarakat majmuk Sarawak.

Beliau berkata, semua parti bertanggungjawab memelihara perpaduan masyarakat ketika berdepan perbezaan politik dan mengelakkan eksploitasi sensitiviti kaum serta agama demi kepentingan politik.

Wung berkata, pencalonannya di Padungan sebagai sebahagian daripada ‘Pasukan Abang Johari’ mencerminkan sokongannya terhadap penekanan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pada kesederhanaan, keterangkuman dan penghormatan terhadap kepelbagaian.

Beliau berkata, kemajuan ekonomi perlu membawa perubahan yang dapat diukur dalam kehidupan rakyat, khususnya melalui akses pendidikan yang lebih baik, pengurangan beban kewangan keluarga dan peluang yang saksama kepada semua komuniti.

“Sebagai sebahagian daripada ‘Team Abang Jo’, saya percaya Sarawak perlu terus memajukan ekonominya sambil memelihara keharmonian kaum dan memastikan semua agama dihormati. Rakyat daripada pelbagai latar belakang perlu mendapat peluang yang saksama dan turut menikmati kemakmuran Sarawak,” katanya.

Oleh Connie Chieng

Menjejaki kuil kayu belian di Matang

KUCHING, 29 Nov: Bermula dengan carian di Google telah menarik minat seorang penulis kelahiran Semenanjung Malaysia untuk mengunjungi sebuah kuil