SIBURAN, 29 Nov: Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) berkemungkinan diadakan seawal tahun depan, namun selewat-lewatnya pada 2028, menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof.
Beliau berkata, berdasarkan pemerhatiannya, pilihan raya umum akan datang itu mungkin berlangsung tahun depan, meskipun tarikh sebenar belum dapat dipastikan.
“Saya nampak tahun depan kita akan mengadakan pilihan raya umum. Selewat-lewatnya 2028. Awal 2028. Tapi saya melihat mungkin tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Bidayuh di Dewan Kampung Sinjok, di sini.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 bukan sekadar bertujuan membentuk kerajaan negeri, sebaliknya turut penting dalam menentukan hala tuju kepimpinan Malaysia pada masa depan.
Menurutnya, kemenangan besar Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada PRN kali ini penting bagi memastikan gabungan itu mempunyai kedudukan yang kukuh untuk memainkan peranan dalam mencorakkan kepimpinan di peringkat nasional pada PRU-16 kelak.
Beliau mengambil contoh pembentukan Kerajaan Perpaduan apabila GPS yang ketika itu mempunyai 23 Ahli Parlimen, menurutnya, tetap memainkan peranan penting dalam menentukan kepimpinan kerajaan di peringkat Persekutuan meskipun mempunyai jumlah kerusi yang lebih kecil.
Justeru, beliau menegaskan, kemenangan besar pada PRN kali ini penting bagi memastikan GPS terus mempunyai suara dan pengaruh dalam menentukan hala tuju politik negara serta memperjuangkan kepentingan Sarawak pada masa hadapan.
Oleh Adele Rissa




