Jujur, amanah kunci kepercayaan rakyat – Awang Tengah

Facebook
WhatsApp
SIDANG MEDIA... Awang Tengah ketika sidang media, diiringi Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong dan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa.

LAWAS, 28 Nov: Kejujuran, amanah dan sikap berterus terang menjadi prinsip utama Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dalam mengekalkan kepercayaan rakyat sepanjang sembilan penggal berkhidmat sebagai wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Sari.

Menurutnya, hubungan erat dengan rakyat perlu sentiasa dipelihara, termasuk dengan bersikap terbuka apabila berdepan permintaan yang belum dapat dipenuhi.

Beliau berkata, setiap permintaan yang mampu dilaksanakan akan diusahakan sebaik mungkin, manakala perkara yang belum dapat direalisasikan perlu dijelaskan secara jujur kepada rakyat.

“Kalau ada permintaan yang kita tidak dapat tunaikan, kita berterus terang bahawa perkara itu mungkin belum dapat dilaksanakan. Kalau yang boleh kita laksanakan, kita berusaha untuk menyelesaikannya.

“Yang penting, kita sentiasa bersama rakyat,” katanya pada sidang media sempena Hari Penamaan Calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 di sini, hari ini.

Awang Tengah turut mengakui bahawa dirinya tidak sempurna dan masih mempunyai kelemahan dalam menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

Bagaimanapun, katanya, kekurangan itu perlu ditangani melalui perbincangan serta pertemuan berterusan dengan rakyat dan pihak berkaitan bagi memastikan setiap perancangan mengambil kira pandangan serta keperluan mereka.

“Tidak ada seorang manusia yang 100 peratus sempurna, tetapi saya berbincang dengan mereka.

“Apa-apa pun yang kita rancang, kita sentiasa bertemu dengan rakyat untuk memupuk semangat persefahaman,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan kepentingan kemenangan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada PRN kali ini bagi memastikan kesinambungan agenda pembangunan negeri serta perjuangan menuntut hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menurutnya, pembangunan dan kesejahteraan yang dinikmati hari ini perlu terus diperkukuh sebagai asas untuk diwarisi generasi akan datang.

Mengulas mengenai parti-parti dari Semenanjung Malaysia seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan UMNO yang tidak bertanding di Sarawak, Awang Tengah berkata rakyat negeri ini sudah matang dalam menilai landskap politik dan sejak dahulu tidak menerima parti dari luar Sarawak.

Terdahulu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Bukit Sari, Ladim Atok mengumumkan kemenangan Awang Tengah bagi kerusi berkenaan selepas calon Bebas, Mohamad Brahim menarik diri daripada pertandingan.

Oleh Adeng Edrus