KUCHING, 1 November: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan prasekolah Gurdwara Sahib Kuching sebagai penerima pertama sumbangan papan pintar berharga sekitar RM10,000.
Menurut beliau, semua sekolah di Sarawak yang mempunyai rangkaian internet akan dibekalkan kemudahan itu bagi membolehkan pelajar mengakses pelbagai bahan pembelajaran dalam talian.

“Namun, yang pertama ini kita akan sumbangkan kepada kuil Sikh supaya anak-anak di sini dapat mengakses mata pelajaran yang penting.
“Papan pintar itu akan melengkapkan sebuah bilik darjah di prasekolah ini dengan aplikasi seperti Khan Academy boleh digunakan untuk mempelajari pelbagai mata pelajaran, khususnya sains,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pembesaran Bangunan Kuil Sikh Gurdwara Sahib Kuching di Jalan Masjid, hari ini.
Pada majlis sama, Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak telah memberikan tanah serta menyumbangkan RM5 juta bagi pembesaran kuil Gurdwara Sahib.
Beliau mengimbas kembali persetujuannya menyelesaikan urusan tanah bagi pembesaran kuil tersebut tidak lama selepas menjadi Ketua Menteri pada 2017.
Tambah beliau, peranan Gurdwara Sahib melangkaui fungsinya sebagai tempat ibadat kerana turut menyediakan pendidikan prasekolah dan menganjurkan kegiatan sosial yang melibatkan komuniti lain.
“Usaha ini meneruskan sumbangan masyarakat Sikh kepada Sarawak, daripada khidmat dalam pasukan pertahanan pada masa lalu hingga bidang perubatan, kesihatan dan perundangan hari ini.
“Walaupun jumlah anda kecil, sumbangan anda kepada negara, Sarawak dan masyarakat keseluruhannya amat besar, khususnya di Kuching,” ujarnya.
Untuk rekod, projek pembesaran Gurdwara Sahib pernah tertangguh akibat pandemik COVID-19 serta peningkatan kos pembinaan sebelum majlis pecah tanah diadakan pada Julai 2022.
Pada Oktober tahun sama, Presiden Persatuan Kuil Sikh Sarawak, Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira memaklumkan pembinaan dijangka bermula November 2022 dengan tempoh pelaksanaan selama 18 bulan.
Pelan pembesarannya merangkumi bangunan tambahan tiga tingkat yang dihubungkan dengan bangunan sedia ada melalui jambatan di tingkat satu dan dua, dengan taman di antara kedua-dua blok.
Antara kemudahan yang dirancang ialah ruang sekolah Punjabi, dewan serbaguna, perpustakaan dan bilik penginapan untuk kegunaan jemaah serta masyarakat.
Oleh Masrin Affirah





