SARIKEI: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg meminta Jabatan Tanah dan Survei menyediakan unjuran kos bagi pembinaan jalan yang akan menghubungkan Jalan Bypass Sarikei ke Bukit Kinyau bagi melengkapkan rangkaian jalan di kawasan tersebut.
Katanya, ia dibuat selepas mendengar taklimat mengenai pembangunan Jalan Bypass Sarikei sempena lawatan ke tapak projek tersebut bersempena Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sarikei, hari ini.
“Saya telah diberi taklimat oleh Jabatan Tanah dan Survei. Jalan yang kita lihat tadi akan menghubungkan bandar Sarikei dengan kawasan pinggiran Sarikei yang kita bangunkan di sebelah Sungai Baji.
“Tadi, nampaknya masih ada jalan yang belum bersambung ke arah Bukit Kinyau dan saya telah meminta Jabatan Tanah dan Survei membuat unjuran kos bagi menyambung jalan tersebut ke Bukit Kinyau,” katanya pada sidang media semasa lawatan ke tapak projek Jalan Bypass Sarikei.
Katanya, pembinaan Jalan Bypass Sarikei merupakan antara projek penting yang akan memperkukuh jaringan perhubungan di kawasan tersebut.
“Ada juga jalan yang akan dibangunkan oleh Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) yang akan menghubungkan kawasan-kawasan pertanian.
“Kita ada Taman Agro yang kita bangun disini. Saya nampak pertanian ini dapat kita bangunkan dengan kawasan yang masih luas.
“Satu-satunya tanaman yang boleh kita galakkan ialah varieti nanas baharu SG1 yang hanya mengambil masa sekitar lapan hingga sembilan bulan untuk dituai,” katanya.
Tambahnya, pembangunan rangkaian jalan dan sektor pertanian akan saling melengkapi dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi luar bandar dan meningkatkan pendapatan penduduk di Bahagian Sarikei.
Oleh Earl Anek




