TANJUNG MANIS: Pesta Belawai Beach akan diadakan pada 20 hingga 29 September 2024.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, untuk majlis penangguhan Pesta Belawai Beach dijadualkan pada 29 September 2024 dan akan dirasmikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Pantai Belawai.
“Pada 2015, beliau (Premier) yang pada ketika itu merupakan menteri pelancongan telah menamakan Pantai Belawai ini sebagai Belawai Beach (BB).
“Dengan adanya program yang telah kita adakan seperti tahun-tahun sebelum ini juga, banyak pengisian yang telah kita bincang serta melibatkan banyak agensi dan jabatan kerajaan supaya bersama-sama mengurus perjalanan aktiviti-aktiviti yang akan kita perkenalkan sepanjang penganjuran pesta ini nanti.
“Aktiviti-aktiviti ini secara keseluruhannya melibatkan sukan dan juga ceramah-ceramah yang akan memberi manfaat kepada rakyat seperti dari segi penyalahgunaan dadah, isu-isu mengenai alam sekitar dan sebagainya,” katanya ketika ditemui media selepas mempengerusikan mesyuarat penganjuran Pesta Belawai Beach bertempat di bilik mesyuarat Majlis Daerah Matu Daro (MDMD) Cawangan Tanjung Manis, kelmarin.
Jelasnya, sebanyak 25 program serta aktiviti yang telah dikenal pasti akan dijalankan keseluruhannya sepanjang penganjuran Pesta Belawai 2024.
“Kita harap sambutan dari penduduk di Daerah Tanjung Manis dan luar daerah ini di Pesta Belawai nanti akan memberi manfaat kepada sosioekonomi tempatan.
“Kita telah mempunyai sambutan untuk mendirikan sebanyak 165 gerai jualan bagi mereka yang berminat,” katanya.
Tambahnya, salah satu program yang dijangka menjadi tarikan ramai pada Pesta Belawai Beach tersebut adalah Pertandingan Memancing Pesta Belawai Beach 2024 bertempat di pesisir Pantai Belawai pada 28 September 2024.
“Kita sasarkan tidak kurang dari 500 penyertaan akan menyertai pertandingan memancing ini.
“Banyak lagi program-program lain yang boleh disertai oleh orang ramai dari pelbagai peringkat umur sepanjang Pesta Belawai Beach ini nanti,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek