PDRM, agensi utiliti perkukuh kawalan bendung kecurian kabel di Bau

Facebook
WhatsApp
USAHA BERSAMA...Mohd Haide bersama wakil agensi utiliti pada mesyuarat penyelarasan bagi memperkukuh langkah pencegahan kecurian kabel di Bau.

BAU: Polis dan agensi utiliti memperkukuh kawalan keselamatan serta perkongsian maklumat bagi membanteras kegiatan kecurian kabel yang boleh menjejaskan bekalan elektrik dan perkhidmatan telekomunikasi di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Bau, Supt Mohd Haide A. Rahman berkata, beberapa langkah pencegahan termasuk meningkatkan rondaan, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi strategik serta memperketat kawalan keselamatan di kawasan pencawang dicadangkan bagi menangani kegiatan berkenaan.

Beliau berkata, usaha itu diperkukuh menerusi mesyuarat penyelarasan yang melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Telekom Malaysia (TM) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau, semalam.

“Antara langkah yang dicadangkan ialah meningkatkan rondaan, memasang CCTV di lokasi strategik serta memperkukuh kawalan keselamatan di pencawang,” katanya.

Menurutnya, perkongsian maklumat antara polis dan penyedia utiliti juga akan dipertingkatkan, termasuk berkaitan rakaman CCTV dan laporan kes kecurian kabel.

Mohd Haide berkata, kerjasama berterusan antara agensi terbabit penting bagi membanteras kegiatan kecurian kabel selain mengurangkan risiko gangguan terhadap bekalan elektrik dan perkhidmatan telekomunikasi.

Beliau berkata, kempen kesedaran awam turut dicadangkan bagi menggalakkan masyarakat melaporkan segera sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa.

“Kerjasama daripada masyarakat amat penting dalam membantu pihak berkuasa mengenal pasti kegiatan mencurigakan dan mengekang kes kecurian kabel,” katanya.

Dalam pada itu, mesyuarat berkenaan turut mencadangkan pemberian penghargaan seperti surat penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga membawa kepada penangkapan pencuri kabel.

Mesyuarat itu turut dihadiri wakil daripada pelbagai unit PDRM, SEB dan TM.

Oleh Connie Chieng