Tapak baharu RM200,000 beri nafas baharu penduduk Rumah Panjang Suri Lalang

Facebook
WhatsApp
SESI serah tapak mula projek tapak baharu Rumah Panjang Suri Lalang telab diadakan semalam. Foto Douglas Uggah Embas Official

DEBAK: Masalah kekurangan ruang untuk pembinaan rumah baharu di Rumah Panjang Suri Lalang bakal menemui jalan penyelesaian apabila tapak baharu bernilai RM200,000 disediakan menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP).

Tapak berkenaan dijangka mampu menampung kira-kira 30 pintu rumah, sekali gus menjadi persediaan awal bagi pembangunan Rumah Panjang Suri Lalang yang baharu pada masa akan datang.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata penyediaan tapak itu penting memandangkan kawasan rumah panjang sedia ada semakin terhad dan tidak lagi mempunyai ruang mencukupi untuk pembinaan sambungan rumah baharu.

“Kawasan rumah panjang yang sedia ada sudah terhad dan tidak banyak ruang untuk penduduk membina rumah baharu.

“Sebab itu kita melihat keperluan untuk menyediakan kawasan lain yang boleh menampung pembangunan rumah panjang mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata kerja meratakan tanah menjadi langkah awal sebelum pembangunan rumah panjang baharu dapat dirancang secara berperingkat.

“Kita mulakan dengan kerja meratakan tanah dahulu. Selepas itu, pembangunan rumah panjang boleh dirancang mengikut keperluan dan persetujuan penduduk. Yang penting, asasnya sudah kita sediakan untuk mereka,” katanya.

Sesi serah tapak mula yang berlangsung semalam itu turut dihadiri wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong, Lady Diana; wakil Pejabat Daerah Kecil Debak, Abang Mohd. Hamberie; wakil Pusat Khidmat ADUN N.37 Bukit Saban serta wakil kontraktor Waiez Enterprise.

Dalam sesi itu, pihak kontraktor turut diberikan taklimat berkaitan pelaksanaan projek dan diingatkan supaya kerja dilaksanakan mengikut jadual serta mematuhi spesifikasi ditetapkan JKR Bahagian Betong selaku agensi pelaksana.

Tuai Rumah Jawa turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Amar Douglas Uggah dan kerajaan Sarawak atas kelulusan peruntukan bagi merealisasikan permohonan penduduk.

Projek itu dilihat sebagai langkah penting membuka lembaran baharu kepada komuniti Rumah Panjang Suri Lalang, khususnya dalam merancang keperluan kediaman yang lebih teratur untuk jangka masa panjang.

Oleh Adi Safarman