





KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hadir menyerikan majlis berbuka puasa, solat Majlis Berbuka Puasa, solat Maghrib, Isyak dan sunat terawih berjemaah bersama penjawat awam Sarawak di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini malam tadi.
Mengiringi beliau ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Dalam pada itu, Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Wanita Sarawak juga meneruskan komitmen kebajikannya dengan menganjurkan program Sumbangan Ikhlas MAKSAK Cares.
Pada majlis sama, seramai 100 penjawat awam yang terpilih menerima sumbangan dalam bentuk wang tunai RM100 yang disalurkan melalui akaun S Pay Global serta baucar tunai Emart bernilai RM100 setiap seorang.
Penyerahan sumbangan telah disempurnakan oleh isteri kepada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian iaitu Datin Sri Enn Ong Siok Ean dan disaksikan oleh Pengerusi MAKSAK Wanita Sarawak, Datin Amar Baduyah Bujang bersama ahli-ahli MAKSAK Wanita Sarawak yang lain.
Sumbangan baucar ini merupakan hasil kerjasama Exco MAKSAK Wanita Sarawak dengan Emart Holdings Sdn Bhd menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat tersebut dengan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM10,000.
Inisiatif ini memberi penghargaan kepada penjawat awam Sarawak yang bertugas di jabatan kerajaan sekitar Bahagian Kuching.
Program ini diharapkan dapat membantu meringankan beban penerima serta memberi keberkatan kepada semua pihak yang terlibat dalam bulan mulia ini. – UKAS