BINTULU: Program Projek Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS) yang diperkenalkan oleh Kerajaan Sarawak banyak memberi manfaat dalam membaik pulih rumah bagi menyediakan kediaman yang selesa kepada penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju, Majang Renggi berkata, projek terbabit giat dilaksanakan di bawah DUN berkenaan.
“Pelbagai program pembangunan yang telah diperkenalkan oleh kerajaan dalam usaha membangunkan dan meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Santai bersama penduduk dan penyerahan siap projek kepada penduduk Rumah Benet Umban di Sepadok, Bintulu.
Dalam pada itu, Majang berharap penduduk setempat dapat memberikan kerjasama padu kepada agensi kerajaan dan swasta dalam membolehkan perancangan pembangunan di Samalaju direalisasikan.
“Dengan kerjasama di antara kita semua membolehkan setiap perancangan dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin.”
“Saya berharap dengan hubungan baik dan kukuh oleh semua pihak akan membawa manfaat kepada semua,” katanya.
Terdahulu Tuai Rumah Benet dalam ucapannya berkata bahawa beliau berterima kasih kepada Majang kerana membawa banyak perubahan dalam membangunkan penduduk di kawasan Samalaju.
“Saya amat gembira dan terharu kerana banyak bantuan yang disalurkan oleh kerajaan menerusi pihak wakil rakyat (Majang Renggi),” katanya.
Turut hadir Penghulu Man Imbak dan Pengerusi Persatuan Tuai Rumah Kawasan Samalaju-Bintulu, Tuai Rumah Galin Andam.
Oleh Ellie Edward