Polo air wanita Sarawak cipta sejarah, raih emas pertama

Facebook
WhatsApp
SKUAD polo air wanita Sarawak bersama Ketua Kontinjen Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu dan Tan Kun Gee meraikan kejayaan selepas menewaskan Selangor 12-10 pada aksi final acara polo air wanita Sukan Malaysia (Sukma) XXII Selangor 2026 di Pusat Akuatik Darul Ehsan, hari ini.

SHAH ALAM: Skuad polo air wanita Sarawak mencipta sejarah apabila meraih pingat emas pertama dalam sejarah acara itu selepas menewaskan tuan rumah Selangor 12-10 pada aksi final Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 di Pusat Akuatik Darul Ehsan, di sini hari ini.

Sarawak tampil dominan sejak awal apabila mendahului 4-2 pada suku pertama sebelum menambah kelebihan menerusi kemenangan 2-1 pada suku kedua. Kedua-dua pasukan kemudian terikat 3-3 pada suku ketiga, manakala Selangor cuba bangkit pada suku terakhir dengan kemenangan 4-3, namun Sarawak kekal di hadapan untuk memastikan kemenangan 12-10.

Presiden Persatuan Renang Amatur Sarawak (ASAS), Tan Kun Gee, menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil prestasi terbaik pasukan yang berjaya mengatasi Selangor untuk kali kedua selepas turut menewaskan tuan rumah berkenaan dalam aksi pusingan liga.

“Ya, saya sangat gembira. Prestasi pasukan sangat baik. Walaupun Selangor bermain di tempat sendiri, kita sudah menewaskan mereka dalam pusingan liga dan pada final kita berjaya mengalahkan mereka sekali lagi.

“Pasukan wanita kita pergi hingga ke penghujung dan berada dalam keadaan terbaik. Saya berjanji kepada Datuk Gerald (Rentap Jabu) bahawa hari ini saya akan membantu mendapatkan satu lagi emas menerusi pasukan wanita,” katanya.

Tan berkata pada awalnya pasukan wanita hanya disasarkan untuk meraih pingat gangsa, manakala emas lebih ditumpukan kepada pasukan lelaki. Bagaimanapun, prestasi cemerlang skuad wanita menyaksikan mereka berjaya melangkaui sasaran berkenaan.

Menurutnya, kemenangan itu menjadi lebih mencabar selepas seorang pemain Sarawak dikenakan lima kesalahan utama sehingga terpaksa dikeluarkan daripada permainan, menyebabkan dua pemain muda terpaksa diturunkan bagi mengisi kekosongan.

“Seorang pemain kita mendapat lima kesalahan utama dan terpaksa keluar. Jadi kita masukkan dua pemain muda. Tetapi selepas kita mendahului empat gol pada suku keempat, kita berada dalam keadaan selesa dan hanya perlu mengawal permainan,” katanya.

Tan berkata arahan kepada pemain pada minit-minit akhir adalah supaya terus mengawal permainan dan menggunakan masa yang ada dengan sebaiknya bagi memastikan kelebihan dua gol itu dikekalkan sehingga wisel penamat.

“Kawal permainan. Sebab kita sedang mendahului, jadi gunakan masa dan tunggu sehingga wisel penamat. Ketika itu kita mendahului dua gol dan hanya tinggal kira-kira seminit, jadi walaupun mereka menjaringkan satu lagi gol, masa sudah hampir tamat,” katanya.

Kejayaan itu melakar sejarah baharu buat polo air wanita Sarawak selepas acara berkenaan tidak dipertandingkan di Sukma selama 13 tahun, sekali gus menjadikan kemunculan semula acara itu pentas terbaik buat skuad Bumi Kenyalang menghadiahkan emas kepada kontinjen negeri.

Oleh Shahrul Qaizat