KUCHING: Polis menerima dua laporan melibatkan amang seksual yang dipercayai dilakukan oleh guru di sebuah sekolah di sini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata berkata, laporan diterima daripada dua penjaga mangsa pada 12 November lepas, 3.15 petang.
Katanya, mangsa berumur 15 tahun telah dicabul oleh warden asrama pelajar lelaki.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak.
“Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontigen (IPK) Sarawak, hari ini.
Tambahnya, memandangkan pelaku adalah guru, dia adalah seorang yang mempunyai hubungan amanah dengan mangsa, yang membawa maksud, mangsa berada di bawah pemeliharaan, pengawasan atau kuasanya sepertimana peruntukan di bawah Seksyen 16 akta sama memperuntukkan hukuman tambahan penjara tidak melebihi 5 tahun dan tidak kurang dari dua sebatan.
“Semasa mangsa demam, dia telah membawa mangsa ke rumahnya di sekolah tersebut, dengan tujuan menjaga mangsa.
“Namun, semasa di rumah suspek (guru), mangsa telah disentuh secara seksual semasa memandikan mangsa dan semasa mangsa tengah berehat,” ujarnya lagi.
Jelasnya, orang ramai dinasihatkan supaya lebih peka dan prihatin dengan kes-kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak kerana kejadian ini boleh memudaratkan kesihatan emosi dan mental yang berpanjangan sekiranya tidak dibendung lebih awal.
Seksyen 19 akta yang sama iaitu kegagalan memberi maklumat mengenai perlakuan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak boleh didenda tidak melebihi RM5,000.
Oleh Nickelyson Lakun