Enam lelaki ditahan dalam operasi dadah berasingan di Lawas

Facebook
WhatsApp
POLIS menahan enam lelaki tempatan dalam beberapa operasi membanteras penyalahgunaan dadah di Lawas antara 15 hingga 21 September lalu.

LAWAS: Polis menahan enam lelaki tempatan dalam beberapa operasi berasingan di bandar ini antara 15 dan 21 September lalu kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan berkata, dalam kejadian pertama pada 1.30 petang,15 September lalu, sepasukan polis menahan sebuah kereta di tepi jalan Bakelalan sebelum menahan seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun yang bekerja sebagai buruh.

“Pemeriksaan badan suspek menemukan satu tiub straw mengandungi hablur kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 0.20 gram.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine. Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam operasi berasingan pada 11.05 pagi di hari yang sama, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun yang bekerja sebagai buruh di tepi jalan di Bandar Lawas.

Pemeriksaan badan tidak menemukan sebarang barang salah atau dadah, namun ujian saringan air kencing mendapati suspek positif Methamphetamine dan Amphetamine.

Suspek juga tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pada 3.30 petang 16 September, polis peronda menahan sebuah kereta di Bandar Lawas yang dinaiki dua lelaki tempatan berusia 42 dan 25 tahun, masing-masing bekerja sebagai buruh.

Pemeriksaan badan tidak menemukan sebarang barang salah atau dadah, namun polis menemukan satu alat menghisap dadah di dalam kereta berkenaan.

POLIS merampas hablur kristal disyaki syabu dalam operasi membanteras penyalahgunaan dadah di Lawas.

Kedua-dua suspek didapati positif Methamphetamine dan Amphetamine menerusi ujian saringan air kencing serta tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, pada 2.00 pagi 19 September lalu, sepasukan polis yang menjalankan operasi bersepadu mengekori sebuah kereta di Jalan Trusan sebelum menahan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun di hadapan rumahnya.

Pemeriksaan terhadap suspek dan kereta tidak menemukan sebarang barang salah atau dadah. Bagaimanapun, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif Methamphetamine dan Amphetamine.

Semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod kesalahan lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam kejadian terakhir pada 21 September, jam 1.30 petang, polis menyerbu sebuah bilik sewa di Bandar Lawas dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun yang tidak mempunyai pekerjaan.

Pemeriksaan badan menemukan satu paket plastik mengandungi tiga paket plastik kecil berisi hablur kristal disyaki syabu serta satu paket plastik mengandungi 19 keratan tiub straw berisi hablur kristal disyaki syabu.

Jumlah keseluruhan dadah disyaki syabu itu dianggarkan seberat 18 gram.

Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif Methamphetamine dan Amphetamine, manakala semakan mendapati dia mempunyai tiga rekod kesalahan lampau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Oleh Adeng Edrus