LAWAS: Polis menahan dua lelaki tempatan berusia 62 dan 21 tahun dalam dua operasi berasingan di daerah ini pada 16 September dan semalam lepas disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan, berkata operasi pertama pada 16 September kira-kira 4.20 petang membawa kepada penahanan lelaki berusia 62 tahun selepas pemeriksaan mendapati dia memiliki kertas yang tertera angka-angka.
“Pemeriksaan terhadap telefon bimbit suspek turut mendapati terdapat aplikasi perjudian. Suspek ditangkap untuk siasatan lanjut.
“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit, kertas dan wang tunai, manakala semakan mendapati suspek tidak mempunyai kesalahan lampau.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (ARJT),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, dalam operasi kedua semalam, kira-kira 6.00 petang, polis menahan seorang lelaki berusia 21 tahun di sebuah premis di bandar Lawas selepas pemeriksaan menemui kertas yang tertera angka-angka.



KES PERJUDIAN…Tiga suspek ditahan bersama peralatan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian dirampas.
“Pemeriksaan terhadap telefon bimbit suspek turut mendapati terdapat aplikasi perjudian. Suspek yang bekerja di premis berkenaan ditangkap untuk siasatan lanjut.
“Turut dirampas ialah sebuah telefon bimbit, kertas, mesin pencetak mini dan wang tunai. Semakan mendapati suspek tidak mempunyai kesalahan lampau.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) ARJT 1953,” katanya.
Dalam operasi sama semalam, polis turut memeriksa tiga premis lain yang disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian.
Bagaimanapun, hasil pemeriksaan mendapati tiada unsur perjudian mengikut Seksyen 4B(a) ARJT 1953 di premis berkenaan, menyebabkan tiada tangkapan atau rampasan dibuat.
Oleh Adeng Edrus




