
MIRI: Polis menahan seorang lelaki tempatan dan merampas dadah dianggarkan bernilai RM380,000 di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Miri, petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, suspek berusia 20 tahun itu ditahan kira-kira 3.30 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak.
“Ketika ditahan, polis menemui satu kotak yang dibawa suspek.
“Hasil pemeriksaan ke atas kotak tersebut menemui bahan disyaki dadah jenis Methamphetamine seberat 10.561 kilogram serta beberapa pod berisi cecair dipercayai dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 986 gram.
“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM380,000,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Menurut Mohd Farhan, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau, jika tidak dikenakan hukuman mati, penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Oleh Liong Chai Ling