KOTA PADAWAN: Tiga pemandu didapati positif alkohol dalam Operasi Memandu Di Bawah Pengaruh Alkohol (Op Mabuk) yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan, malam tadi.
Menurut IPD Padawan, operasi yang berlangsung dari 11.30 malam hingga 5.30 pagi itu dijalankan di Jalan Datuk Amar Kalong Ningkan, di sini.
“Sebanyak 75 kenderaan dan 80 individu diperiksa dalam operasi berkenaan, manakala 67 saman turut dikeluarkan.
“Pemeriksaan melibatkan pelbagai kategori kenderaan serta saringan alkohol terhadap individu yang diperiksa,” katanya dalam satu laporan hari ini.
Mengulas lanjut, operasi itu dijalankan bagi mengesan dan mengambil tindakan terhadap kesalahan berkaitan pemanduan di bawah pengaruh alkohol.
PDRM mengingatkan pengguna jalan raya supaya tidak memandu selepas mengambil minuman beralkohol kerana ia boleh menjejaskan tumpuan serta meningkatkan risiko kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.




