Laporan ragut rupanya palsu, lelaki 38 tahun didenda RM1,700

Facebook
WhatsApp
LELAKI berusia 38 tahun didenda RM1,700 oleh Mahkamah Majistret Kuching semalam selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memberikan maklumat palsu kepada polis berhubung kejadian ragut yang sebenarnya tidak pernah berlaku. Foto Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak

PETRA JAYA: Tindakan seorang lelaki membuat laporan polis palsu kononnya menjadi mangsa ragut bagi mengelakkan bayaran penggantian dokumen penting membawa padah apabila dia didenda RM1,700 oleh Mahkamah Majistret Kuching, semalam.

Menurut kenyataan Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, lelaki berusia 38 tahun itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret 2 Kuching atas pertuduhan memberikan maklumat bertulis yang didakwa palsu kepada seorang anggota polis dengan niat menyebabkan anggota berkenaan menggunakan kuasa yang diberikan kepadanya di sisi undang-undang.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 21 September lalu, kira-kira 11.17 pagi, di Balai Polis Sentral, Jalan Khoo Hun Yeang, Kuching.

Hasil siasatan mendapati tertuduh membuat laporan mendakwa dirinya telah diragut pada 19 September lalu, sehingga menyebabkan dokumen penting termasuk kad pengenalan hilang.

Bagaimanapun, siasatan mendapati kejadian ragut berkenaan sebenarnya tidak berlaku dan laporan itu dibuat bagi mengelakkan dirinya dikenakan bayaran oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Perbuatan itu dilakukan dengan niat menyebabkan anggota polis menggunakan kuasa yang diberikan kepadanya di sisi undang-undang untuk melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan sekiranya keadaan sebenar diketahui.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali dan tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,700 terhadap tertuduh.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama dua bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Tertuduh bagaimanapun telah membayar denda tersebut.

Oleh Adi Safarman