Tiga wanita cuba curi kabel SEB ditahan

Facebook
WhatsApp
DIRAMPAS...Antara barang yang dirampas daripada suspek yang dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan jenayah.

MIRI: Cubaan tiga wanita mencuri kabel milik Sarawak Energy Berhad (SEB) tidak kesampaian apabila mereka ditahan polis berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat Sentral Miri, malam tadi.

Ketiga-tiga suspek berusia antara 38 hingga 40 tahun itu ditahan sekitar 9.05 malam oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dengan bantuan Polis Bantuan SEB.

Polis Daerah Miri menerusi hantaran di laman Facebook berkata, pihak SEB sebelum itu menerima isyarat penggera amaran kabel di lokasi berkenaan kira-kira 7.00 malam sebelum memaklumkannya kepada polis.

“Hasil tindakan pantas, ketiga-tiga suspek berjaya ditahan dan beberapa barang bukti turut dirampas untuk membantu siasatan.

“Semakan mendapati ketiga-tiga wanita berkenaan mempunyai rekod tangkapan lampau berkaitan kesalahan jenayah dan penyalahgunaan dadah,” menurut hantaran tersebut.

Ketiga-tiga suspek  kini direman selama tiga hari sehingga 29 September ini dan disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Oleh Liong Chai Ling