KUCHING: Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan jumlah rampasan melebihi RM2 juta dalam Ops Tapis Khas bagi tempoh 17 hingga 19 Januari 2023 di seluruh negeri ini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, Daerah Miri mencatatkan jumlah rampasan dadah tertinggi dalam operasi itu dengan nilai rampasan RM1.99 juta yang juga kejayaan terbesar sejak 2021.
“Ini diikuti Kuching dengan RM9,000, seterusnya Bintulu dengan RM4,722 nilai rampasan.
“Sebanyak 201 serbuan dan 385 pemeriksaan telah dilakukan oleh pihak polis di seluruh Sarawak termasuk di lokasi aktif, kawasan PPRT, perumahan, rumah kedai, perkampungan serta pelbagai tempat yang digunakan sebagai aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah.
“Hasil serbuan itu, seramai 328 individu ditangkap atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan pelbagai jenis dadah turut dirampas termasuk serbuk dan pil ecstacy, syabu, ganja dan pil Eramin 5,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, hari ini.
Katanya, turut dirampas dalam operasi itu adalah peralatan penyimpanan dan pembungkusan dadah, sebuah motosikal, dan senapang patah.
Dalam perkembangan lain, polis telah melakukan sebanyak 837 tangkapan dalam tempoh 1 hingga 19 Januari lalu berbanding 443 tangkapan bagi tempoh sama tahun lalu.
Oleh Mohd Neenatul Aizal