Mentaliti, sikap perlu berubah untuk budaya kebersihan lebih baik

Facebook
WhatsApp
PENASIHAT di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah), Tan Sri William Mawan Ikom merasmikan Hari Cuci Malaysia 2026 di Rumah Kanyan, Nyalak Ladong pada semalam. Foto Pusat Khidmat DUN Pakan

PAKAN: Kemajuan teknologi perlu bergerak seiring dengan perubahan mentaliti dan sikap masyarakat, termasuk dalam aspek penjagaan kebersihan, kesihatan serta pengurusan sisa yang lebih teratur.

Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah), Tan Sri William Mawan Ikom berkata, masyarakat perlu mempunyai pemikiran terbuka dan bersedia menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi moden.

“Mentaliti mesti terbuka dan kita perlu mengadaptasikan teknologi moden kerana perkembangan teknologi pada masa kini berlaku dengan begitu pantas.

“Dalam bidang perubatan misalnya, pembangunan teknologi semakin pesat, begitu juga dalam perkara berkaitan digital termasuk penggunaan gajet yang menggunakan teknologi baharu,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Hari Cuci Malaysia 2026 di Rumah Kanyan, Nyalak Ladong anjuran Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ), semalam.

Katanya, perubahan yang diperlukan bukan sekadar melibatkan penggunaan teknologi, malah perlu merangkumi sikap masyarakat terhadap tanggungjawab harian, terutama berkaitan kebersihan dan kesihatan.

“Sikap juga mesti berubah dan jangan membuat kerja asal siap, terutama dalam penjagaan kesihatan.

“Pemikiran dan cara kita juga mesti berubah dalam menjaga kesihatan,” katanya.

TAN Sri William Mawan Ikom berucap di Hari Cuci Malaysia 2026. Foto Pusat Khidmat DUN Pakan

Tambahnya, pengurusan sampah secara teratur merupakan antara perkara asas yang perlu diberikan perhatian kerana persekitaran yang tidak bersih boleh mewujudkan keadaan yang menggalakkan kehadiran agen pembawa penyakit.

“Cara pembuangan sampah mesti teratur agar kita dapat menghindari agen pembawa penyakit. Kebersihan persekitaran juga perlu sentiasa dijaga,” katanya lagi.

Katanya, masyarakat perlu melihat sisa bukan semata-mata sebagai bahan buangan, sebaliknya memahami bahawa kemajuan teknologi membolehkan sisa dimanfaatkan dengan kaedah yang lebih produktif.

“Di tempat yang sudah maju, sisa buangan dijadikan sumber kuasa,” katanya.

Mawan berkata, perkembangan sedemikian menunjukkan pentingnya perubahan cara berfikir mengenai pengurusan sisa supaya masyarakat tidak terus bergantung kepada kaedah konvensional semata-mata.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh peranan barisan konselor pihak berkuasa tempatan sebagai penghubung antara masyarakat dengan pihak majlis.

Katanya, konselor mempunyai tanggungjawab membawa suara komuniti kepada pihak majlis supaya isu serta keperluan masyarakat di peringkat akar umbi dapat diberikan perhatian.

Oleh Earl Anek