Polis Bau tingkat rondaan di pencawang telekomunikasi cegah jenayah

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA polis menjalankan rondaan di sekitar pencawang telekomunikasi bagi mencegah kegiatan jenayah.

BAU: Polis Bau meningkatkan rondaan dan pemeriksaan keselamatan di pencawang telekomunikasi di sekitar daerah ini sebagai usaha berterusan untuk mencegah kegiatan jenayah serta melindungi aset dan infrastruktur komunikasi.

Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A Rahman berkata, anggota Unit Kereta Peronda (MPV) daripada Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKKD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau, melaksanakan rondaan serta lawatan ke beberapa pencawang telekomunikasi di sekitar daerah berkenaan.

Beliau berkata, lawatan itu memberi tumpuan kepada pemantauan kawasan sekitar pencawang, khususnya lokasi yang terpencil dan kurang mendapat tumpuan orang awam.

“Kehadiran anggota polis secara berkala di lokasi-lokasi ini bertujuan meningkatkan tahap keselamatan, mengurangkan peluang berlakunya kegiatan jenayah serta memberikan rasa lebih selamat kepada komuniti setempat,” katanya.

Mohd Haide berkata, rondaan sedemikian akan diteruskan sebagai sebahagian daripada langkah proaktif polis dalam mencegah jenayah, khususnya bagi melindungi aset dan infrastruktur telekomunikasi.

Oleh Connie Chieng