BAU: Polis Bau menjalankan operasi terhadap kenderaan perdagangan semalam dan mengeluarkan lima saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) (K) 257 atas pelbagai kesalahan.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A Rahman berkata, sebanyak 30 kenderaan dan 36 individu diperiksa sepanjang operasi itu.
Antara kesalahan dikesan melibatkan motosikal ialah Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan lampu brek tidak berfungsi.
Bagi kenderaan perdagangan pula, polis mendapati terdapat muatan yang tidak kemas atau berbahaya, tiada segi tiga keselamatan serta tayar botak.
Menurut Haide, pemeriksaan itu dijalankan bagi memastikan pengguna jalan raya, khususnya pengendali kenderaan perdagangan, mematuhi undang-undang keselamatan jalan raya.
Beliau berkata, BSPTD Bau akan meneruskan operasi penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya.
Beliau turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat, memeriksa tayar, lampu dan sistem keselamatan secara berkala, memastikan muatan dibawa mengikut peraturan serta mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelakkan kemalangan.
Operasi itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Bau di Jalan Bau-Serikin, Jalan Bau-Lundu dan Jalan Bau-Kuching.
Oleh Connie Chieng





