Ketua Kaum, JKKK tonggak penyampaian suara rakyat kepada kerajaan

Facebook
WhatsApp
ROY Angau Gingkoi merasmikan Program Memperkasakan Tugas dan Peranan Ketua Kaum dan JKKK Rumah Panjang di Rumah Stanley Young, Bara, Lubok Antu. Foto: Roy Angau Gingkoi

LUBOK ANTU, 18 Oktober: Peranan Ketua Kaum dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) terus diperkukuh menerusi penganjuran Program Memperkasakan Tugas dan Peranan Ketua Kaum dan JKKK Rumah Panjang yang berlangsung di Rumah Stanley Young, Bara.

Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi berkata, program tersebut bertujuan memperkukuh peranan Ketua Kaum dan JKKK sebagai penghubung utama antara masyarakat dengan kerajaan.

Menurut beliau, golongan itu memainkan peranan penting dalam menyampaikan pelbagai isu, keperluan serta aspirasi penduduk setempat agar perhatian dan tindakan sewajarnya dapat diambil oleh pihak berkaitan.

“Ketua Kaum dan JKKK merupakan barisan hadapan dalam memastikan suara rakyat di peringkat akar umbi dapat disampaikan dengan berkesan kepada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa hadir merasmikan Program Memperkasakan Tugas dan Peranan Ketua Kaum dan JKKK Rumah Panjang di Rumah Stanley Young, Bara, Lubok Antu, semalam.

Dalam majlis sama, Roy turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM30,000 kepada JKKK bagi menyokong pelaksanaan aktiviti serta program pembangunan komuniti di kawasan tersebut.

Beliau juga mengumumkan peruntukan RM10,000 kepada Biro Wanita sebagai usaha memperkasakan penglibatan wanita dalam aktiviti kemasyarakatan dan pembangunan setempat.

Tidak hanya itu, Roy turut meluluskan peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2027 berjumlah RM200,000 untuk pembinaan sebuah dewan baharu di Rumah Stanley Young, Bara.

Katanya, pembinaan dewan itu dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk sebagai pusat pelaksanaan program, aktiviti kemasyarakatan dan pelbagai acara komuniti pada masa hadapan.

Pada masa sama, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada agensi kerajaan yang hadir, Tuai Rumah Stanley Young, barisan Ketua Kaum, JKKK, Biro Wanita serta seluruh warga Bara atas sambutan, kerjasama dan komitmen yang ditunjukkan dalam menjayakan program berkenaan.

Roy berharap hubungan erat antara pemimpin masyarakat, agensi kerajaan dan penduduk setempat akan terus diperkukuh bagi memastikan kesejahteraan rakyat serta pembangunan komuniti di kawasan Lubok Antu dapat dilaksanakan secara berterusan dan lebih berkesan.

Oleh Adi Safarman