SPAOH, 18 Oktober: Pertandingan Karaoke Tertutup Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban terus membuka peluang kepada penduduk tempatan untuk mengetengahkan bakat nyanyian, selain mengeratkan silaturahim dan memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Pertandingan anjuran Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Saban dengan kerjasama Saberkas Bukit Saban itu melibatkan enam zon saringan sebelum peserta terbaik berentap di pentas akhir.
Setakat ini, seramai 23 peserta menyertai dua sesi saringan yang berlangsung di Dewan Masyarakat Spaoh pada Jumaat lalu dan Rumah Panjang Engkerebai, Anyut, Ulu Paku, semalam.
Saringan Zon 1 di Dewan Masyarakat Spaoh menyaksikan penyertaan 14 peserta, manakala sembilan peserta mengambil bahagian dalam saringan Zon 2 di Ulu Paku.
Ahli Parlimen Betong, Datu Dr Richard Rapu, turut menyatakan sokongan terhadap penganjuran pertandingan itu yang disifatkan sebagai platform untuk mencungkil bakat seni suara serta memperkukuh hubungan dalam kalangan masyarakat.

Menurut beliau, aktiviti seumpama itu bukan sahaja memberi peluang kepada penduduk untuk menyerlahkan kebolehan masing-masing, malah menggalakkan interaksi sosial dan memupuk semangat kebersamaan.
Mengikut format pertandingan, peserta yang meraih tempat pertama dan kedua dalam setiap zon akan melayakkan diri ke peringkat akhir yang dijadualkan berlangsung di Dewan Masyarakat Spaoh pada November ini. Tarikh rasmi pertandingan akhir akan diumumkan oleh pihak penganjur kelak.
Bagi setiap sesi saringan, juara menerima wang tunai RM500, manakala naib juara dan pemenang tempat ketiga masing-masing membawa pulang RM300 dan RM200. Pemenang tempat kelima dan keenam pula masing-masing menerima hadiah saguhati RM50.
Baki sesi saringan dijangka terus menarik penyertaan masyarakat sebelum peserta terbaik daripada keenam-enam zon berentap di pentas akhir, sekali gus memeriahkan kegiatan seni dan kebudayaan di kawasan DUN Bukit Saban.
Oleh Adi Safarman




