Polis Bau gempur premis hiburan tanpa lesen, lelaki tempatan ditahan

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
ANGGOTA polis menjalankan pemeriksaan dalam operasi bersepadu di Kampung Serikin, Bau yang membawa kepada penahanan seorang lelaki disyaki mengendalikan pusat hiburan tanpa lesen.

BAU: Seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun ditahan dalam satu operasi bersepadu polis di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Serikin, dipercayai mengendalikan pusat hiburan tanpa lesen.

Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A Rahman berkata, operasi tersebut dijalankan kira-kira 12.15 pagi semalam oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah IPD Bau.

“Semasa pemeriksaan dijalankan, polis menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai menjalankan operasi pusat hiburan tanpa lesen sah. Semakan lanjut mendapati premis berkenaan tidak mempunyai lesen hiburan,” katanya.

Menurut beliau, polis turut merampas sebuah pembesar suara mudah alih berwarna hitam dan dua mikrofon berwarna sama yang dipercayai digunakan untuk aktiviti hiburan di premis berkenaan.

Suspek turut didapati negatif dadah selepas menjalani saringan air kencing oleh pihak polis.

Kes disiasat di bawah Seksyen 5(1) Ordinan Hiburan 2000.

Mohd Haide berkata siasatan telah selesai dengan tangkapan dibuat dan tindakan lanjut akan diambil mengikut peruntukan undang-undang.

Oleh Connie Chieng