
LONDON, 10 Mei -- Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kanan) disambut oleh ketua-ketua jabatan dan agensi yang berpejabat di London sejurus tiba di negara itu pada awal pagi Selasa. Ismail Sabri akan menghadiri beberapa acara di sini sebelum berlepas ke Washington D.C untuk Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat. --fotoBernama (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA LONDON, May 10 -- Prime Minister Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (right) was greeted by heads of departments and agencies based in London upon arrival in the country early Tuesday morning. Ismail Sabri will attend several events here before leaving for Washington D.C for the ASEAN-US Special Summit. --fotoBERNAMA (2022) COPYRIGHTS RESERVED
LONDON: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di sini awal pagi semalam untuk menghadiri beberapa acara di ibu kota ini.
Ketibaan Perdana Menteri di Lapangan Terbang Luton pada 2.00 pagi (9.00 pagi waktu Malaysia) disambut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di United Kingdom Zakri Jaafar.
Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Zahid Rastam serta ketua-ketua jabatan dan agensi Malaysia yang berpejabat di London menyambut ketibaan Ismail Sabri di hotel penginapannya.
Perdana Menteri, yang dalam perjalanan ke Washington DC bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat, dijadual melawat Pameran Tenun Pahang: Menyulam Harapan yang diadakan sempena London Craft Week di bangunan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square, di sini.
Beliau turut dijadual menghadap Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, yang berada di London bagi pameran yang julung kali diadakan itu.
Pameran Tenun Pahang Diraja bermula Isnin diadakan selama seminggu sehingga Ahad (15 Mei) antara lain memperagakan tenunan dari penjara, yang menampilkan tenunan tradisional lengkap dengan penenun bertugas, fabrik arkib dari Muzium Pahang dan pilihan pakaian Tunku Azizah sendiri, selain koleksi Tenun peribadi.
Perdana Menteri dijadual menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Keluarga Malaysia dengan rakyat Malaysia yang menetap di United Kingdom.
Ismail Sabri dijadual berlepas ke Washington DC pada 5.00 petang semalam (12.00 tengah malam waktu Malaysia). – Bernama