KOTA KINABALU, 13 Oktober: Pegawai Penyiasat Inspektor Wong Yew Zhung memberitahu Mahkamah Koroner di sini hari ini, sebanyak 200 saksi dipanggil untuk dirakam percakapan sepanjang siasatan bagi melengkapkan laporan mati mengejut kes Zara Qairina Mahathir.
Wong berkata mereka terdiri daripada ahli keluarga, jiran, rakan sekolah rendah dan menengah, guru, pegawai perubatan, pegawai polis serta penghuni asrama perempuan blok Rabiatul Adawiyah, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha (SMKA TDM), Papar.
Saksi ke-83 prosiding inkues kematian Zara Qairina itu memaklumkan kesemua rakaman percakapan itu diambil oleh beliau dengan bantuan pegawai daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan IPD Sipitang.
“Hasil siasatan saya mendapati tidak ada saksi yang melihat sendiri kejadian yang menyebabkan Zara Qairina ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan berhampiran longkang asrama blok Rabiatul Adawiyah, SMKA TDM.
“Tidak ada pihak termasuk pengawal keselamatan atau warden asrama yang membuat rondaan di aras tiga blok Rabiatul Adawiyah pada malam kejadian selain pemeriksaan saya mendapati tiada kamera litar tertutup dipasang di kawasan asrama yang dapat memberikan rakaman berhubung kejadian itu,” katanya.
Wong memberitahu beliau telah membuat semakan dengan pihak sekolah dan pengurusan asrama bagi mengesahkan sama ada terdapat sebarang aduan berhubung kejadian buli melibatkan Zara Qairina.
Hasil semakan itu mendapati tidak ada rekod menunjukkan Zara Qairina mahupun ibu bapa atau penjaganya pernah membuat aduan rasmi kepada pihak sekolah berhubung kejadian buli, mencederakan atau apa-apa kes lain yang berlaku terhadap remaja tersebut.
Wong berkata beliau juga telah meneliti hasil analisis pengekstrakan data daripada telefon bimbit yang dirampas sepanjang siasatan, bagaimanapun berpendapat dapatan itu tidak menemukan sebarang maklumat atau bukti yang dapat membantu menjelaskan keadaan atau cara kematian Zara Qairina.
“Secara keseluruhannya, siasatan yang saya jalankan meliputi pengambilan keterangan daripada pelbagai kategori saksi, pemeriksaan lokasi, semakan dengan pihak sekolah dan pengurusan asrama, pemeriksaan dokumen yang berkaitan dengan Zara Qairina, penelitian terhadap keterangan perubatan dan hasil bedah siasat serta analisis bahan bukti digital.
“Kesemua tindakan itu telah dijalankan bagi mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai keadaan dan peristiwa yang berlaku sebelum Zara Qairina ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri serta untuk mengenal pasti apa-apa keterangan atau bukti yang dapat membantu Mahkamah Koroner menentukan punca, cara dan bagaimana kematian berlaku,” katanya.
Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama sekolahnya pada awal pagi.
Prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan bersambung petang ini.- Bernama





