JULAU, 13 Oktober: Ancaman penipuan dalam talian, penyalahgunaan dadah dan jenayah harta benda merupakan antara cabaran keselamatan yang memerlukan perhatian berterusan serta kerjasama erat antara polis dan masyarakat.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, Deputi Komisioner (DCP) Saifullizan Ishak berkata, kedudukan geografi Julau yang melibatkan kawasan luar bandar dan penempatan rumah panjang turut menuntut pendekatan kepolisan yang strategik, menyeluruh serta berteraskan komuniti.
Katanya, aspek keselamatan jalan raya dan kesiapsiagaan menghadapi bencana alam, khususnya banjir di kawasan tertentu, juga perlu diberikan perhatian bagi memastikan kesejahteraan penduduk terus terpelihara.
“Daerah Julau mempunyai keunikan tersendiri yang memerlukan pendekatan kepolisan yang strategik, menyeluruh dan berpaksikan komuniti.
“Kedudukannya yang melibatkan kawasan luar bandar serta penempatan rumah panjang yang berselerak menuntut tahap komitmen yang tinggi daripada seluruh warga IPD Julau dalam memastikan keselamatan masyarakat sentiasa terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah (KPD) Julau dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Daerah Julau di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Julau, hari ini.
Majlis tersebut menyaksikan pelantikan DSP Rowney Michael Jalak sebagai KPD Julau yang baharu, selaras dengan Arahan Pertukaran Pegawai Kanan Polis Bilangan 29 Tahun 2026 bertarikh 21 September lalu.
Tambahnya, dalam mendepani cabaran keselamatan yang semakin kompleks, kerjasama antara polis dengan pelbagai pihak perlu terus diperkukuh bagi meningkatkan keberkesanan usaha pencegahan jenayah.
“Dalam mendepani era yang semakin mencabar ini, IPD Julau juga berhadapan dengan pelbagai isu keselamatan yang memerlukan perhatian berterusan, antaranya ancaman penyalahgunaan dadah, jenayah komersial khususnya penipuan dalam talian, jenayah harta benda, keselamatan jalan raya serta keperluan memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi bencana alam seperti banjir yang lazimnya berlaku di beberapa kawasan tertentu,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau berharap seluruh warga IPD Julau memperkukuh kerjasama strategik dengan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, pemimpin masyarakat, ketua kaum, institusi pendidikan, sektor swasta dan komuniti setempat.
Katanya, hubungan erat antara semua pihak amat penting dalam memperkasakan pencegahan jenayah, meningkatkan kesedaran masyarakat serta mewujudkan persekitaran kehidupan yang lebih selamat.
“Saya percaya bahawa kejayaan sesebuah daerah bukan hanya bergantung kepada keupayaan pasukan polis semata-mata, tetapi turut memerlukan sokongan padu daripada seluruh lapisan masyarakat dan agensi-agensi berkaitan yang menjadi stakeholder dalam memastikan keselamatan Daerah Julau.
“Oleh itu, budaya kerjasama, perkongsian maklumat dan semangat tanggungjawab bersama hendaklah terus diperkasakan demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Saifullizan mengucapkan tahniah kepada DSP Rowney atas pelantikannya sebagai KPD Julau yang baharu.
Katanya, Rowney mempunyai pengalaman luas dalam pelbagai bidang kepolisan, termasuk siasatan trafik, pengurusan logistik, siasatan jenayah serta pencegahan jenayah dan keselamatan komuniti.
“Pengalaman yang luas merentasi pelbagai cabang kepolisan ini sudah pasti menjadi nilai tambah yang amat besar kepada beliau dalam memimpin IPD Julau.
“Saya yakin dengan pengalaman, kompetensi, kredibiliti serta pendekatan kepimpinan yang dimiliki, beliau mampu meneruskan kecemerlangan yang telah dibina sebelum ini, memperkukuhkan keupayaan penyampaian perkhidmatan kepolisan kepada masyarakat serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan pasukan dalam menghadapi pelbagai cabaran keselamatan semasa,” katanya.
Saifullizan turut menyatakan keyakinan bahawa latar belakang Rowney sebagai anak Sarawak akan membantunya memahami keadaan sosial, budaya dan keperluan masyarakat setempat.
Menurutnya, kelebihan itu dapat dimanfaatkan bagi menyesuaikan pendekatan kepimpinan serta pelaksanaan tugas kepolisan yang lebih berkesan berlandaskan konsep Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada.
Beliau turut mengingatkan bahawa jawatan KPD merupakan amanah besar yang memerlukan keupayaan memimpin pasukan, membuat keputusan tepat dan mengurus sumber secara berkesan.
“Sesungguhnya, jawatan KPD merupakan satu amanah yang amat penting dan mencabar.
“Jawatan ini memainkan peranan utama dalam menerajui pentadbiran daerah, menyelaras operasi kepolisan, memelihara keselamatan dan ketenteraman awam, membanteras jenayah serta memperkukuhkan hubungan strategik antara polis dan komuniti setempat,” katanya.
Pada masa sama, Saifullizan merakamkan penghargaan kepada Inspektor Marson Lawai yang memangku jawatan KPD Julau sejak 28 April 2026.
Katanya, Marson telah melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh dedikasi, profesionalisme dan komitmen tinggi bagi memastikan kesinambungan pentadbiran serta pelaksanaan tugas kepolisan di daerah itu berjalan lancar.
Saifullizan turut menghargai kerjasama agensi kerajaan dan semua pihak yang menyokong usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan demi keselamatan serta kesejahteraan masyarakat.
Turut hadir ialah Pemangku Pengerusi PERKEP Kontinjen Sarawak, Faisha Ishak; Ketua Jabatan Pengurusan Sarawak, SAC Zulkipli Suhaili; Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Sarawak, SAC Ku Mashariman Ku Mahmood dan Pengerusi PERKEP Julau yang baharu, Rosaline Radin.
Oleh Earl Anek





