Hanya perantara berdaftar diluluskan JPJ boleh urus niaga bagi pihak pelanggan

Facebook
WhatsApp
KETUA Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli

ARAU, 12 Oktober: Hanya individu atau wakil syarikat mendaftar sebagai perantara berdaftar dan mendapat kelulusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dibenarkan menjalankan urus niaga bagi pihak pelanggan di semua pejabat serta cawangan di seluruh negara mulai 1 Januari tahun depan.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata ketetapan itu adalah antara langkah jabatan berkenaan dalam mengawal selia aktiviti perantara yang mewakili pelanggan dengan lebih teratur, telus dan berintegriti. 

Sehubungan dengan itu, beliau berkata pendaftaran perantara berdaftar akan dibuka mulai 1 November secara dalam talian melalui platform yang disediakan JPJ.

“Setiap perantara berdaftar yang diluluskan akan diberikan pengenalan rasmi digital yang mengandungi nombor siri dengan tempoh sah laku selama dua tahun, tertakluk kepada syarat dan peraturan jabatan,” katanya pada sidang media selepas meninjau kaunter JPJ Perlis yang siap dinaik taraf di sini hari ini.

Aedy Fadly berkata pelaksanaan itu tidak bermaksud jabatan berkenaan mempunyai sebarang ikatan, kerjasama atau hubungan perniagaan dengan mana-mana perantara berdaftar, selain kelulusan pendaftaran juga bukan suatu bentuk pengiktirafan, sokongan atau jaminan JPJ terhadap perkhidmatan yang ditawarkan oleh pihak berkenaan.   

“JPJ juga tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerugian, penipuan, caj tambahan atau pertikaian yang timbul daripada urusan persendirian antara pelanggan dengan pihak perantara berdaftar.  

“Dalam hal ini, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan mengutamakan saluran rasmi jabatan seperti aplikasi MyJPJ, Portal Awam JPJ, kaunter atau saluran rasmi lain yang disediakan bagi mengelakkan sebarang risiko yang tidak diingini,” katanya.

Aedy Fadly berkata pelaksanaan itu mencerminkan komitmen berterusan JPJ dalam memperkukuh integriti, ketelusan dan kecekapan penyampaian perkhidmatan di samping memastikan kepentingan pelanggan sentiasa menjadi keutamaan jabatan itu.

Beliau ketika mengulas mengenai kaunter JPJ Perlis berkata ia kini tampil dengan wajah baharu yang lebih moden, kemas dan kondusif menerusi projek naik taraf di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 yang disiapkan dalam tempoh lima bulan berbanding sasaran enam bulan.

“Projek yang dilaksanakan dari 23 April hingga 24 September itu melibatkan tiga bahagian utama, iaitu Bahagian Penguatkuasa, Bahagian Pelesenan Pemandu dan Bahagian Pelesenan Kenderaan. Saya merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kerja Raya Perlis atas kejayaan menyiapkan projek berkenaan dalam tempoh ditetapkan,” katanya.

Aedy Fadly berkata penambahbaikan itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 400 pelanggan yang berurusan setiap hari, selain menyediakan persekitaran kerja yang lebih teratur dan selesa kepada warga JPJ Perlis.

Beliau berkata JPJ Perlis adalah antara pejabat terawal menyiapkan projek naik taraf kaunter pada tahun ini dengan reka bentuk berkonsepkan korporat yang menitikberatkan keselesaan pelanggan dan kecekapan penyampaian perkhidmatan, sekali gus selaras dengan pendekatan naik taraf kaunter JPJ di Putrajaya dan Terminal Bersepadu Selatan (Kuala Lumpur). – Bernama