KUALA LUMPUR, 12 Oktober: Persekutuan Majikan-Majikan (MEF) menyambut baik langkah mengecualikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang mempunyai jualan tahunan kurang daripada RM50 juta daripada pelaksanaan kadar gaji minimum baharu, namun menegaskan bahawa garis panduan pelaksanaannya perlu ditetapkan dengan jelas.
Penasihat Kanan Hubungan Kerajaan, Media dan Antarabangsa MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman, berkata pengecualian itu mengiktiraf perbezaan keupayaan kewangan dalam kalangan perniagaan, khususnya perusahaan kecil yang mungkin menghadapi kesukaran menanggung peningkatan kos operasi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada Jumaat, mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 berkuat kuasa 1 Jun 2027. Bagaimanapun, PMKS yang mempunyai hasil jualan tahunan kurang daripada RM50 juta dikecualikan daripada pelaksanaan kadar baharu itu bagi memberi ruang kepada mereka menyesuaikan model perniagaan masing-masing.
Syed Hussain berkata pengecualian itu akan memberi ruang kepada perniagaan kecil untuk memperkukuh operasi, meningkatkan produktiviti dan membuat persediaan bagi menghadapi pelarasan gaji pada masa hadapan tanpa menjejaskan kemampanan kewangan mereka.
“MEF mengakui bahawa peningkatan pendapatan pekerja merupakan matlamat penting negara. Bagaimanapun, dasar gaji juga perlu mengambil kira daya tahan kewangan majikan, khususnya PMKS yang memainkan peranan penting dalam mewujudkan peluang pekerjaan, menyokong rantaian bekalan dan memacu pembangunan ekonomi Malaysia secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kenaikan gaji turut meningkatkan kos berkaitan pekerjaan, termasuk caruman berkanun, bayaran kerja lebih masa dan perbelanjaan lain yang berkaitan dengan penggajian. Oleh itu, perniagaan perlu diberikan masa dan ruang yang mencukupi untuk membuat penyesuaian.
Sehubungan itu, Syed Hussain berkata pengecualian berkenaan perlu disertai kriteria kelayakan yang jelas, komunikasi yang berkesan dan sokongan praktikal kepada perniagaan yang terjejas bagi memastikan dasar itu dapat dilaksanakan dengan lancar.
Beliau turut menggesa kerajaan memantau kesan dasar itu terhadap guna tenaga, paras gaji dan prestasi perniagaan bagi memastikan matlamat yang disasarkan dapat dicapai tanpa memberikan tekanan berlebihan terhadap pengambilan pekerja atau menjejaskan kesinambungan operasi perniagaan.
Berhubung langkah memperkukuh PMKS di bawah Belanjawan 2027, MEF turut menyambut baik peningkatan kemudahan pembiayaan dan jaminan kepada RM57 bilion pada 2027 berbanding RM50 bilion pada 2026, serta cadangan pengurangan kadar cukai pendapatan PMKS sebanyak satu mata peratusan yang dijangka memanfaatkan kira-kira 300,000 perniagaan.
Persekutuan itu turut menyambut baik peruntukan RM30 juta bagi membantu 4,000 PMKS mengguna pakai kecerdasan buatan (AI) dan automasi. Menurut MEF, inisiatif itu dapat membantu perniagaan meningkatkan kecekapan dan daya saing.
“MEF menggesa kerajaan memastikan langkah-langkah ini dilaksanakan dengan cekap melalui prosedur permohonan yang mudah, kriteria kelayakan yang telus serta penyaluran pembiayaan dan bantuan yang diluluskan secara tepat pada masanya,” menurut kenyataan itu.
Syed Hussain berkata MEF berharap dapat memperkukuh kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui rundingan berkala bagi memastikan dasar yang dirangka lebih menepati keperluan perniagaan, di samping menyokong kelestarian perniagaan dan kebajikan pekerja. – Bernama





