KUCHING: Pertandingan ‘Parent-Child Puzzle’ memainkan peranan penting sebagai medium pembinaan negara bangsa yang menekankan kebersamaan dalam kalangan rakyat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata penyertaan daripada pelbagai bangsa dalam pertandingan itu menjadi cerminan acara sedemikian mampu menjadi platform terbaik menyatukan masyarakat.
“Meskipun ini penganjuran yang julung kalinya, ia mencerminkan komitmen padu Pertubuhan Komuniti Progresif Kuching dalam pembinaan negara bangsa menerusi keharmonian dalam kepelbagaian.
“Selain merapatkan hubungan ibu bapa dengan anak, pertandingan ini juga penting untuk perkembangan anak-anak agar mereka tidak terperap di dalam rumah dan hanya bermain gajet,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pertandingan ‘Parent-Child Puzzle’ di pasar raya Aeroville, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, katanya penganjuran program itu juga bertepatan dengan imej Sarawak yang merupakan contoh terbaik kepada keharmonian dan perpaduan untuk rakyat Malaysia.
“Seperti yang kita lihat, meskipun para peserta daripada pelbagai bangsa, mereka tetap bertanding dengan semangat perpaduan yang tinggi.
“Pembinaan negara bangsa bukan hanya tanggungjawab seorang individu malah semua pihak.
“Sarawak dijadikan contoh bukan (hanya) kerana kita negeri berpendapatan tinggi, tetapi kerana kita dapat hidup dengan harmoni dalam kepelbagaian,” katanya.
Pertandingan anjuran Pertubuhan Komuniti Progresif Kuching itu disertai oleh 86 peserta melibatkan tiga kategori iaitu Kategori A (tujuh hingga lapan tahun), Kategori B (sembilan hingga 10 tahun) dan Kategori C (11 hingga 12 tahun).
Turut hadir Presiden Pertubuhan Komuniti Progresif Kuching, Ryan Jee dan Presiden Persatuan Sekolah Rendah Cina Bantuan Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian, Dato Jonathan Chai Voon Tok.
Oleh RYNNA SHA’ERRA