
KUCHING: Pameran Fesyen Pereka Eksklusif yang berlangsung di Wonderboom, Green Height Mall bukan sekadar memikat pencinta fesyen tempatan, malah turut menarik perhatian pereka antarabangsa terhadap potensi pasaran di Kuching.
Acara tersebut menampilkan koleksi eksklusif pereka terkenal dari India, Jakarta dan Bangkok, menjadikannya satu platform penting untuk memperkenalkan jenama global kepada khalayak baharu di Malaysia Timur.
Menurut Pengarah Binwani’s, Vijay Binwani, ia merupakan kali pertama koleksi mereka dipamerkan di Kuching sebagai sebahagian daripada jelajah ke Manila, Singapura dan Kuala Lumpur.

“Selepas tiga generasi menjalankan perniagaan di Malaysia, terutamanya di Semenanjung, kami melihat Malaysia Timur sebagai pasaran yang berpotensi besar.
“Ini adalah langkah pertama kami untuk membawa jenama dan produk eksklusif kepada lebih ramai pelanggan di sini,” katanya.
Selain menampilkan koleksi fabrik eksklusif dari jenama terkenal seperti Liberty dari London dan rumah fesyen berprestij Itali, pameran ini turut mempamerkan busana siap pakai, aksesori, serta rekaan unik pereka dari India.
Vijay turut mengakui bahawa kejayaan membawa pameran itu ke Kuching tidak akan tercapai tanpa sokongan rakan kongsi tempatan, Datin Karishma Shankar Asnani, yang memahami selera serta budaya masyarakat setempat.
“Kami gembira dapat bekerjasama dengan seseorang yang memiliki pemahaman mendalam tentang pasaran tempatan.
“Ini memberi peluang kepada pereka antarabangsa untuk lebih mengenali cita rasa fesyen di Kuching,” ujarnya.
Pereka fesyen yang terlibat juga melihat pameran tersebut sebagai pintu masuk untuk memperluaskan jenama mereka ke Malaysia Timur.
Mereka berharap dengan sambutan positif yang diterima dapat mendorong mereka untuk membawa lebih banyak koleksi dan menjadikan Kuching sebagai lokasi tetap dalam kalendar fesyen mereka.
Acara tersebut berlangsung bermula 11.00 pagi hingga 6.00 petang itu turut menyediakan hidangan ringan bagi para pengunjung yang hadir menyaksikan pelbagai rekaan menarik, termasuk kaftan, pakaian Muslimah, busana Indo-Barat, fesyen kontemporari, pakaian tradisional India, serta koleksi pakaian lelaki.
Oleh Masrin Affirah