KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan sehingga 9 Jun, sekali gus menyaksikan pergerakan rentas negeri untuk pulang ke kampung menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak dibenarkan.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan melanjutkan PKPB selama empat minggu lagi itu dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai langkah membendung wabak Covid-19.
“Usaha kita masih belum berjaya sepenuhnya. Langkah-langkah masih perlu diambil untuk memerangi wabak ini. Dari segi pandangan umum juga saya dapati rata-rata rakyat mahukan supaya kerajaan terus mengambil langkah-langkah yang wajar untuk memerangi wabak ini,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan di stesen-stesen televisyen tempatan, semalam.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan PKPB bermula 4 hingga 12 Mei bagi membolehkan sebahagian sektor ekonomi dan sosial dibuka secara terkawal dan berhati-hati.
Beliau berkata ini bermakna semua peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan ketika tempoh PKPB pada masa ini akan kekal berkuat kuasa sehingga 9 Jun.
Jelasnya, sebarang perubahan mengenai peraturan, SOP atau senarai sektor yang dibenarkan beroperasi akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Muhyiddin berkata, dalam tempoh PKPB itu terdapat beberapa perayaan utama yang lazimnya melibatkan pergerakan orang ramai iaitu Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.
“Ini bermakna, minta maaf banyak-banyak, saya mohon ampun, demi menjaga keselamatan dan kesihatan kita semua, perjalanan balik kampung merentas sempadan negeri untuk tujuan berhari raya tidak dibenarkan,” katanya.
Beliau berkata perayaan Aidilfitri, Pesta Kaamatan atau Hari Gawai bagaimanapun tetap boleh disambut melalui ziarah-menziarahi dalam kalangan jiran terdekat dan keluarga yang tinggal dalam negeri sama dengan had maksimum 20 orang pada satu-satu masa, namun jamuan besar-besaran atau rumah terbuka tidak boleh diadakan.
Perdana Menteri berkata, setiap keluarga juga perlu mematuhi SOP kesihatan seperti penjarakan sosial, pemakaian penutup hidung dan mulut serta amalan kebersihan kendiri seperti penggunaan pensanitasi tangan sepanjang sambutan perayaan itu.
Sementara itu, Muhyiddin mengumumkan Malaysia berada di tangga keempat daripada 105 negara dari segi tahap kepuasan hati rakyat terhadap usaha dilakukan kerajaan dalam menangani wabak Covid-19, hasil kajian yang dilakukan sebuah agensi penyelidikan berpangkalan di Singapura.
Justeru, beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang banyak berkorban untuk memastikan rakyat Malaysia terselamat daripada wabak yang telah menjangkiti lebih 4 juta penduduk dunia dan menyebabkan 278,631 kematian, setakat 3.00 petang semalam.
Beliau berkata hasil usaha bersungguh-sungguh yang dilakukan mereka serta disiplin rakyat Malaysia sepanjang tempoh PKP dan PKPB dilaksanakan, hampir seluruh mukim atau zon di negara ini telah berstatus hijau.
Meskipun negara mencapai banyak perkembangan positif dalam usaha memerangi wabak itu, Muhyiddin mengingatkan bahawa langkah-langkah masih perlu diambil untuk memeranginya.
Katanya, menurut pandangan pakar perubatan, proses menghasilkan vaksin mengambil masa yang agak lama iaitu antara 12 hingga 18 bulan.
“Saya telah berhubung dengan beberapa pemimpin negara luar dan dimaklumkan ujian-ujian klinikal sedang giat dilaksanakan untuk menghasilkan vaksin bagi virus ini. Saya berharap vaksin dapat dihasilkan seberapa segera supaya kita boleh bebas daripada ancaman Covid-19 dengan secepat mungkin,” katanya.-Bernama