KUCHING: Kejayaan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan sebahagian hak Sarawak yang terhakis ketika memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) adalah antara sumbangan paling signifikan Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Wan Junaidi, kini Yang Dipertua Dewan Negara, berjaya mendapatkan kelulusan Parlimen untuk meminda Perkara 160 Perlembagaan bagi memasukkan Perjanjian Malaysia (MA63), Laporan Cobbold dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
“Apabila Wan Junaidi memasukkannya (MA63, laporan Cobbold dan IGC) dan pindaan Perlembagaan itu diterima lebih daripada dua pertiga Ahli Parlimen untuk menjadi undang-undang, jadi hak-hak Sarawak dilindungi oleh Perlembagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap pada majlis interaksi dan kesyukuran Pemasyhuran Yang di-Pertua Dewan Negara di Dewan Kompleks Islam Sarawak di sini, semalam.
Abang Johari berkata, tanpa usaha Wan Junaidi, perjuangan MA63 oleh pemimpin Sarawak mungkin tidak sekukuh sekarang.
Beliau berkata, pindaan tersebut menjelaskan lagi kedudukan Sarawak dalam Malaysia berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.
Ia turut melibatkan pelaksanaan dasar pendidikan, keahlian dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri dan peruntukan kewangan khas tahunan untuk Sabah dan Sarawak.
Abang Johari berkata, pelantikan Wan Junaidi untuk menerajui Dewan Negara pada 19 Jun lepas adalah atas permintaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan seseorang yang berkecuali untuk jawatan itu.
“Sebenarnya kami membantu Datuk Seri Anwar (kerana) kita dalam Sarawak berkehendakkan kestabilan. Kalau negara Malaysia ini aman, kerajaan yang stabil, tahap keyakinan tinggi, orang akan melabur ke Malaysia,” katanya.
Abang Johari mengimbas perbualannya dengan Anwar ketika sama-sama menaiki kereta dalam perjalanan balik dari Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) selepas menghadiri satu program.
Katanya, dalam perjalanan balik itu, Anwar menyuarakan menghadapi masalah untuk memilih Speaker Dewan Negara yang berkecuali.
“Saya jawab Anwar, sekiranya mahu Speaker Dewan Negara yang berkecuali, lantik orang Sarawak dan beliau terus bersetuju.
“Selepas itu, beliau (Anwar) terus bertanya sama ada Wan Junaidi mahu kembali berkhidmat, dan saya menjawab nanti saya tanya beliau,”katanya.
Oleh Shahrul Qaizat