TAIPEI: Pilihan raya Taiwan bermula seawal 8.00 pagi hingga 4.00 petang ini, menyaksikan pengundi melaksanakan tanggungjawab masing-masing di pusat mengundi di sekitar Taiwan, lapor Agensi Berita Pusat (CNA).
Sebanyak tiga parti bertanding jawatan presiden dan naib presiden iaitu Parti Rakyat Taiwan (TPP) Ko Wen Je dan pasangannya Wu Hsin Ying, calon presiden Parti Progresif Demokratik (DPP) Lai Ching Te, yang juga naib presiden sementara dan pasangannya Hsiao Bi Khim serta calon presiden Kuomintang (KMT) Hou Yu Ih dan pasangannya Jaw Shau Kong.
Selain pilihan raya presiden dan naib presiden, sejumlah 113 kerusi Parlimen turut dipertandingkan termasuk 73 wakil daerah yang dipilih secara langsung.
Sebanyak 16 parti politik termasuk DPP, KMT dan TPP bersaing merebut 34 kerusi.
Sekitar 19.55 juta pengundi di Taiwan atau lebih 83 peratus penduduknya layak mengundi di enam bandar terbesar iaitu Taipei, New Taipei, Taoyuan, Taichung, Tainan dan Kaohsiung.
Sebanyak 17,795 pusat mengundi dibuka dengan kertas undi akan dikira serta-merta manakala keputusan akan terus diserah kepada pihak berkuasa pilihan raya tempatan dan pusat.
Presiden dan naib presiden dijadual mengangkat sumpah pada 20 Mei manakala Ahli Parlimen yang dipilih mengangkat sumpah pada 1 Februari. – Bernama – CNA